Feeds:
Posts
Comments

Ulasan Buku Ary Ginanjar Augustian: ESQ 2008

Shaharir b.M.Z.

Abstrak

Buku yang menjadi pegangan utama di dalam “ESQ Leadership Training” yang kontroversi itu disorot di sini mengikut sudut pengIslaman ilmu. Buku ini memang ada unsur pembinaan semula ilmu kepengurusan yang asli berasaskan prinsip Islam setelah sedikit kritikan (dan kurang memuaskan) dilakukan terhadap teori EQ dan ES Barat. Yang amat kurang memuaskan itu ialah kerana tiadanya bicara soal pokoknya, iaitu emosi dan rohani itu sendiri yang tentunya berbeza antara konsep emosi dan rohani Islam dengan yang bukan Islam yang sekaligus mampu mengkritik lagi teori EQ dan ES Barat itu. Tiadalah juga dibicarakan konsep kejayaan yang menjadi perkara besar di dalam buku ini, khususnya bicara perbezaan besarnya kejayaan Islam dengan yang bukan Islam. Ketiadan dua perkara besar inilah yang mengundang bercelarunya dan tidak mantapnya buku ini. Apa pun usaha ke arah pengIslaman ilmu di dalam buku ini bolehlah dipuji. Namun di dalam pembinaan dan pengolahan ilmu berkenaan itu, buku ini amatlah banyak memaparkan idea dan prinsip yang agak asing lagi daripada Islam dan cuba menegakkan pula kebenarannya menerusi kaca mata Islam; atau pada ketika lainnya memaparkan idea daripada prinsip Islam tetapi disesuaikan dengan teori bukan Islam atau diperkukuhkannya dengan contoh amalan atau tokoh bukan Islam yang ditafsirkan menghayati idea Islam itu. Pendekatan ini, yang terkenal di dalam pengIslaman ilmu sebagai penghayatan Bucailleisme atau “penumpangan sekaki”, amat tidak cocok dengan pengIslaman ilmu yang diingini bahkan ditunjukkan tiada manfaatnya dan boleh pula membawa umat kepada kelemahan jiwa dalam berkarya (sentiasa kalah kepada bukan Islam), dan terseret kepada mendokong liberalisme dan jamakisma/pluralisme. Contoh perkara besar yang dibicarakan di dalam buku ini dan berada di dalam kategori ini ialah penampilan teori pengosongan minda dan kepercayaan kepada kebenaran yang dibawa oleh suara hati yang kononnya menjadi amalan para Nabi; dan ramainya tokoh Barat yang diidolakannya kerana kononnya menghayati pelbagai nilai Islam, amalan Islam atau prinsip Islam yang ditonjolkan menerusi teori ESQ beliau itu; dan memaparkan dengan ramainya tokoh-tokoh Barat bukan Islam (setengahnya ateis atau tidak peduli agama) yang kononnya membawa kebenaran dan menjadi contoh peribadi berjaya. Beliau juga dengan jelasnya menyatakan satu daripada tujuan teorinya untuk mengukuhan teori suara hati pakar motivasi dan kepengurusan Barat-Kristian, Stephen Covey, menerusi satu daripada aspek teori ESQ beliau, iaitu amalan zikir dan solat. Di samping itu banyaklah juga hal-hal yang boleh dianggap tidak kena atau tersisih daripada sasaran keIslaman. Contohnya kononnya adanya teori Galileo dan Copernicus di dalam al-Qur’aan; mengandaikan hukum di dalam sains termasuk di dalam sains sosial adalah bersifat pasti yang lama diabaikan Barat sekalipun; mengandaikan kebenaran teori planet dan atom yang sudah lama diabaikan Barat sekalipun; meninggalkan prinsip-prinsip utama di dalam rukun Islam dan rukun iman di dalam huraian teorinya yang kurang cermat; dan membuat tafsiran baru iqra’ dan suraht al-Faatihah yang berpotensi ke arah melakukan bid‘aht dholalaht. Beliau juga jelas taasub kepada bilangan lima dan enam (bilangan rukun Islam dan rukun Iman) di dalam pengkategorian perkara di dalam teorinya sehingga menjadi punca tersasarnya dan menyasarnya teori beliau itu. Beliau juga mengulangi kononnya bukti mukjizat al-Qur’aan ialah menerusi teori Abdul Razak Nawfal (bilangan kemunculan sesuatu kelas perkataan) dan teori Rashad Khalifa (kod 19). Di samping tiadanya penjelasan konsep Ihsan yang dipakai di dalam teorinya, beliau juga memperakukan “metode historis” bagi menyelesaikan keraguan yang tidak jelas dan masih meragukan walaupun jika ditafsirkan sebagai kaedah statistik sekalipun. Model hubungan manusia-manusia-Tuhan juga agak masih menghayati model lumrah tiga segi yang kami anggap kurang tepat. Ketinggalan membuat rujukan yang agak tuntas terhadap sesuatu isu yang diperkatakan atau tidak menyenaraikan rujukannya termasuk yang penting-penting juga amat menjejaskan ketanggung-jawaban pengarang buku ini. Buku ini juga amatlah mengabaikan kekuatan bahasa sendiri atas pegangan salahnya terhadap falasafah dan peranan bahasa dalam ilmu. Akhirnya, kami dapati 6 daripada fatwa Mufti Wilayah memang agak boleh dipertahankan menerusi sorotan ini tetapi selebihnya (4 lagi) itu agak meleset. Apa pun kami tidak memperakukan buku ini tidak diizinkan di pasaran, malah memperakukan supaya dibaca terutamanya oleh mereka yang berminat di dalam pengIslaman ilmu kepengurusan dan kepemimpinan serta melakukan kritikan dan penambah-baikan terhadapnya.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Pendahuluan

Buku Ary Ginanjar Augustian yang diulas ini ialah yang judulnya diringkaskan sebagai ESQ 2008 sahaja. Judul Penuhnya, “Rahasia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual ESQ Emotional Spiritual Quotient. The ESQ Way 165. 1 Ihsan, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam”, cetakan ke-43 Augustus 2008 terbitan Arga Publishing, Jakarta Indonesia, ISBN 979-96271-0-9. Berdasarkan pada bilangan percetakan itu, jelaslah buku ini mungkin sekali buku terlaris di dunia (yang pastinya, buku Melayu terlaris di dunia) kerana cetakan pertamanya hanya 2001 sahaja (bermakna 4 atau 5 kali cetakan setahun!). Sungguh ini suatu fenomenal di dalam sejarah bahasa Melayu. Ary memang pengarang luar biasa, dan dunia Melayu khasnya perlulah tabik kepadanya. Dengan kontroversi yang tercetus di Malaysia dalam bulan Julai 2010 terhadap buku ini, maka dijangkakan kelarisannya akan melonjak lagi.

Buku ini menarik perhatian pengulas ini sebaik sahaja diketahui adanya buku ini pada tahun 2002 dahulu lagi kerana mengikut maklumatnya buku ini mengandungi teori kepemimpinan dan kepengurusan yang berasaskan pada prinsip Islam (khasnya rukun Iman dan rukun Islam); suatu usaha “pengIslaman ilmu” atau “Islamisasi ilmu” yang berlainan sekali. Namun hasrat itu tidak kesampaian sehinggalah kini setelah termotivasi dek kontroversi terhadap buku ini seperti yang disebut di atas. Puncanya beberapa orang ulama termasuk Mufti terkenal, Harussani, dan mantan Mufti Johor, Noh Gadot, berjaya diserkap oleh Ary untuk membuat penyataan berbentuk iklan yang muncul dengan kerapnya di dada akhbar menyatakan kehebatan program pelatihan berasaskan buku ESQ 2008 ini yang diadakan sejak sekitar setahun-dua yang lepas di sekitar Kuala Lumpur. Akan tetapi baru-baru ini seorang Mufti, Mufti Wilayah Persekutuan kini, Wan Zahidi, berpendapat sekurang-kurangnya 11 perkara di dalam buku ESQ 2008 itu bercanggah dengan Islam seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian, Rabu 21 Julai 2010 sehingga Latihan itu tidak didizinkan berjalan di Wilayah Persekutuan) dan Harakah 9-12 Ogis 2010 yang juga menghebahkan laman Mufti Wilayah itu yang mengandungi kritikan penuhnya terhadap ajaran di dalam “ESQ Leadership Training” yang buku ESQ 2008 itu menjadi buku teksnya. Kami hanya akan mengulas singkat pendirian Mufti Wilayah Persekutuan itu pada akhir makalah ini sahaja.

PengIslaman Ilmu di dalam ESQ 2008

“PengIslaman ilmu” yang popular sehingga kini pun ialah hanya sekadar mengukuhkan apa sahaja ilmu kontemporer dari Barat dengan ayat-ayaht al-Qur’aan yang sengaja ditafsirkan supaya serasi dengan ilmu berkenaan itu. Lihat sahaja betapa larisnya buku Danial Zainal Abidin “Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains” terbitan tahun 2007 yang sekurangnya sudah 8 kali cetakan semula sehingga tahun 2009, dan bagaimana larisnya buku-buku Harun Yahya (yang berkarya dalam bahasa Turki dan terjemahan Melayunya diterbit oleh Saba Muslim Media itu) dan buku Arip Kosmo, “Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran” terbitan tahun 2007 yang beroleh anugerah buku UKM tahun itu dan kini sudah cetakan ke-3. Ini manifestasi kelemahan umat Islam amnya yang seolah-olah hanya mahu berlindung dirinya di rumah orang lain, orang kaya, yang dianggapnya pemiliknya penuh ehsan, sedangkan makanan yang sering diterimanya penuh dengan kearsenikuman. Kaedah ini sebenar sudah berkurun berlakunya kerana selama itulah orang Islam melarat lebih-lebih lagi di dalam pemilikan ilmunya, tetapi tidaklah serancak sejak akhir dasawarsa tahun 1970-an dahulu apabila sarjana daripada suku-sakat tuan rumah kediamannya sendiri melakukannya. Kepopularannya dicetuskan oleh Maurice Bucaille (Perancis dan bukan Islam) menerusi karya asalnya La Bible, le Coran et la Science (1976) dan terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris The Bible, the Qur’an and Science (1978), dan bahasa Melayu juga dalam tahun 1978 begitu “berjaya” melakukannya [dengan menunjukkan serupanya beberapa unsur sains kontemporer dengan ilmu yang ditafsirkannya ada di dalam al-Qur’aan], dan disambut dengan meriah dan gahnya oleh seluruh umat Islam sehingga Bucaille menjadi seorang sarjana selebriti segera. Ini membuka mata hati “sarjana”, “cendekiawan”, atau penulis Muslim yang sudah lama diasuh meletakkan sains Barat itu sebagai satu kebenaran yang setanding dengan agamanya, maka lahirlah kaedah “pengIslaman ilmu” sebegini dengan berleluasanya. Itulah diagnosis munculnya, contohnya, buku-buku yang laris jualan yang tersebut di atas itu.

Kaedah pengIslaman ilmu mengikut gaya Bucaille itu dinamai kaedah Bucaille dan falsafahnya Bucailleisme serta pengikutnya atau pendokongnya Bucailleis. Istilah ini dicipta oleh Ziauddin Sardar, seorang sarjana-wartawan penggiat pengIslaman ilmu yang terjulang namanya pada sekitar 1980-an hingga 1990-an menerusi pembentukan kumpulannya yang dinamainya Ijmalis yang diketuai olehnya dan dianggotai oleh Merryl Wyn Davis (ahli antropologi-sosiologi), Jerome Ravetz (ahli falsafah sains), Parvez Manzoor (penulis-pemikir Islam) dan Munawar Ahmed Anees (ahli biologi-falsafah) yang semua memang banyak menghasilkan karya-karya umum tentang pengIslaman ilmu bukan gaya Buccaille, yang jauh lebih menarik dan bermakna lagi, segi kecendekiawanan atau kesarjanaan, tetapi tidak menjadi laris jualan. Bucailleisme memang tidak diperaku oleh bukan sahaja Ijmalis tetapi lebih bermaknan lagi oleh para pemuka awal pengIslaman ilmu seperi Ismail al-Faruqi, Seyyed Hossein Nasr, Sayed Muhammad Naquib al-Attas dan ideolog mereka ini di Malaysia, ASASI (lihat penjelasan hampir semua aliran PengIslaman ilmu di dalam Shaharir 1990 dan khusus untuk Bucailleisme sahaja, khasnya aspek kenegatifannya, ada dibicarakan di dalam Shaharir 2009a). Satu daripada natijah yang belum diutarakan selama ini tentang Bucailleisme ini ialah betapanya fahaman ini boleh menyemarakkan uculisme atau liberalisme dan jamakisme atau pluralisme. Uculisme di sini bermaksud fahaman bebasnya mentafsir al-Qur’aan dan al-Hadith mengikut kehendak ilmu kontemporer daripada dunia bukan Islam demi penyerasian ilmu itu dengan Islam; sumber utama Islam itu tidak lagi menjadi titik-tolak pembinaan ilmu kontemporer sehingga ilmu kontemporer itu tertapis menerusi turas Islam dan Islam pun memotivasikan penginovasian atau penciptaan baru ilmu yang lebih serasi dengan Islam. Jamakisme itu jelas berlaku di dalam Bucailleisme kerana sains Barat itu dibina atas emosi dan ruhani Barat yang pelbagai asal-usulnya walaupun yang dominannya ialah liberalisme, kapitalisme, sosialisme, tabiisme, ateisme (komunisme hanya daripadanya sahaja) atau yang kami namainya apedulisme (fahaman tidak peduli agama); namun semua sains ini disesuaikan menerusi tafsiran baru al-Qur’aan dan al-Hadith untuk diserasikan dengan Islam, hingga jadilah semua agama sebenarnya sama sahaja. Kesimpulan ini semakin benar berlakunya kerana sains yang sama juga sedang dan setengahnya sudah pun dirasionalkan tafsirannya supaya serasi dengan agama-agama lain selain daripada Islam seperti yang masyhurnya keserasian Buddhaisme, Zenisme dan Taoisme dengan fizik moden (teori Einstein dan mekanik quantum) yang dilakukan oleh Capra (1978/2004), Zukav (1979/1984), dan khusus keserasian Buddhaisme dengan sains yang sama oleh Balasubramaniam (1992), keserasian sains amnya dengan Hindu oleh Raganathananda (1991), dan keserasian Kristian dengan fizik moden oleh Polkinghorne (2007) dan Schindler (1986). Oleh itu semua agama bertemu dan bersetuju dengan “kebenaran sains kontemporer” itu. Dengan kegiatan ini dicampur dengan Bucailleisme itu, maka sudah muncullah satu aliran pemikiran bagi pertemuan semua agama untuk meraikan bersama akan kebenaran sains kontemporer yang bolehlah dinamai serasisme. Tentunya sudah ramai pihak yang berkata, “Bukankah ini manifestasi bukti samanya semua agama!?”.

Buku ESQ 2008, ternyata memang bukan karya yang bebas Bucailleisme sepenuhnya, kerana masih banyak unsur tersebut di sana-sini di dalam buku itu yang dinyatakan pada banyak konteksnya kemudian. Namun sedikit kritikannya terhadap teori Maslow (1943), Drucker (1954/1993), teori EQ Goleman (1999) dan teori ES Zohar-Marshall (2001) serta usahanya menginovasikan teori ES dan EQ Barat itu berasaskan prinsip Islam itulah yang meletakkannya sebelah kakinya di luar rumah Bucailleis dan seterusnya menarik perhatian para pengkaji pengIslaman ilmu terutamanya dan sebahagian masyarakat Islam amnya. Pengarang ESQ 2008 memang ada menyebut dua buah buku yang mempengaruhinya berkarya sehingga terbitnya buku beliau, ESQ 2008 ini, iaitu buku Goleman (1999) yang pernah menjadi buku laris jualan dunia untuk beberapa tahun dan buku Zohar (bersama Marshall, 2001; yang pernah menjadi laris jualan juga) yang masing-masing dianggap dunia sebagai pencipta EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient). Kritikan beliau terhadap dua buah karya ini ternyata hanya sedikit sahaja dilakukan di dalm bab terakhir ESQ 2008 itu. Beliau tidak pun menunjukkan berbezanya konsep emosi Goleman itu dengan emosi di dalam Islam, akhlaq al-Karimah, yang ditonjolkan kewujudannya di dalam al-Qur’aan oleh beliau sendiri, bahkan nampaknya dianggapnya sama sahaja dengan emosi Barat itu. Begitu juga ruhani (atau istilahnya “spiritual”) di dalam SQ Zohar-Marshal atau ruhani Kristian di dalam teori kepemimpinan dan kepengurusan Covey (1989/1996) yang cukup kerap dirujuknya dengan postifnya itu nampaknya dianggapnya tiada bezanya dengan ruhani Islam. Inilah punca beliau dengan senangnya memberi contoh tokoh-tokoh Barat bukan Islam yang menghayati SQ dan EQ itu sebagai mereka yang menghayati ESQ beliau! Beliau terlepas pandang agaknya bahawa Jika seseorang tidak menegaskan perbezaannya antara emosi dan ruhani Barat itu dengan emosi dan ruhani Islam terlebih dahulu, maka sia-sialah teori baru seseorang itu tentang emosi dan ruhani di dalam kepemimpinan dan kepengurusan berlabelkan Islam itu. Sebabnya, ujian teori baru itu ke atas seseorang pengurus, pemimpin atau tokoh bukan Islam tetap akan melahirkan hasil yang sama, seperti yang memang dinyatakan secara tidak langsungnya di dalam buku ESQ 2008 itu, iaitu mereka yang di persada kejayaan sekarang kekal di tempat itu juga. Khalifah al-Rasyidin, umpamanya, tidak berada di persada itu, sedang teori Islam semestinya menghasilkan natijah yang mereka yang bukan Islam itu, bagaimanapun hebatnya sekali pun, seperti yang silamnya, Einstein, dan yang masih hidup, Bill Gate, itu hanyalah berkedudukan sedemikian itu mengikut sukatan acuan bukan Islam sahaja; tetapi masih belum hebat mengikut acuan Islam kerana misalnya teori Einstein yang berasaskan emosi dan ruhaninya yang bukan Islam itu masih bertentangan dengan ajaran Islam (lihat Shaharir 2008a, 2009b) dan oleh itu perlulah sebuah teori baru lagi yang lebih baik daripada teorinya yang selalu diagung-agungkan Barat (bukan Islam) dan turut disanjung tinggi oleh Muslim seluruh dunia itu.

Sungguhpun kritikan pengarang ESQ 2008 itu terhadap teori EQ dan ES semasa amatlah sedikit, oleh itu tidaklah memuaskan, tetapi itulah yang mendorongnya untuk melakukan inovasinya supaya sebuah teori EQ dan ES yang baru yang dapat dibinanya sesuai dengan ajaran Islam; dan langkah inilah yang boleh dianggap pengIslaman ilmu yang bukan Bucailleisme itu. Beliau membina teorinya sendiri berasaskan Rukun Iman, Rukun Islam dan sebuah konsep Islam, Ihsan. Bahkan hal ini dinyatakan sebagai sebahagian daripada judul bukunya dengan ungkapan di kulit bukunya itu: The ESQ Way 165. 1 Ihsan 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam. Judul ini pun tidak syak lagi menjadi magnet di dalam pemasarannya. Sejauh mana tercapai-tidaknya pengIslaman ilmu beliau ini dibicarakan kemudian ini.

Sebelum itu, kami ingin menyatakan di sini bahawa langkah pengarang ESQ 2008 yang tidak cukup banyak mengkritik kandungan buku Goleman dan Zohar-Marshall itu khususnya terhadap penyimpangannya daripada, atau tidak serasinya dengan Islam sudah pun menjadi satu daripada kelemahan umum buku ESQ 2008 itu. Dengan ketiadaan kerja itu, pembaca tidak dapat mengetahui, mengikut pandangannya, sejauh mana berbezanya atau samanya konsep EQ Goleman dan SQ Zohar-Marshall dengan yang beliau sendiri itu. Satu lagi kelemahan umum buku ini ialah ketiadaan hasil perbandingan ujian ESQ seseorang mengikut buku ESQ 2008 (seperti berasaskan ujian di bahagian lampiran buku itu) berbanding dengan ujian EQ dan SQ masing-masing berasaskan karya Goleman dan Zohar-Marshal terhadap beberapa orang tokoh yang berjaya di dunia sekarang sehingga menunjukkan teori ESQ 2008 itu lebih baik daripada kedua-dua teori Barat itu.

Senjata Manusia Berjaya: ZM, Rukun Iman, Rukun Islam, Ihsan dan

Bilangan 5 dan 6

Seluruh buku ESQ 2008 ditulis dengan andaian bahawa manusia yang hebat pemikirannya atau kepemimpinan atau kepengurusannya atau manusia yang berjaya besar ialah ialah manusia yang berdaya karya yang tinggi yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapinya dengan penuh daya ciptanya. Sebahagian besarnya andaian ini benar tetapi pengarang ESQ 2008 terlepas pandang pada sebahagian lagi yang pentingnya pada seseorang manusia yang dianggap berjaya itu, iaitu manusia yang bijak mewujudkan benda (suasana, masalah, ilmu, teknologi dsbnya). Bahagian penciptaan ini tidak dibicarakan di dalam ESQ 2008 itu sehingga ketiadaan aspek ini menjadi satu daripada unsur kelemahan buku ini. Dalam hal manusia penyelesai masalah ini, pengarang ESQ 2008 percaya bahawa manusia yang berjaya itu ialah yang tidak dipengaruhi oleh apa-apa, manusia yang bebas, manusia yang diistilahkannya sebagai “Zero Mind” itu. Oleh itu bab pertama (istilahnya “Bagian Satu”) buku ESQ 2008 itu ditumpukan kepada isu pengosongan minda ini, “Zero Mind Process” atau istilah beliau yang lainnya “Penjernihan Emosi” (di Daftar Isi), “Perjernihan Hati” (pipi 83), “Penjernihan Jiwa” (pipi 338), dan “Pembentukan hati dan pikiran yang jernih dan suci” (pipi 83). Selepas itu beliau membicarakan kaedah “Pembinaan Mental” atau “Mental Building”; diikuti oleh “Personal Strength” atauKetangguhan Peribadi”,Social Strength” atau Ketangguhan Sosial”. Beliau sengaja memastikan setiap perkara ini dibicarakan dengan 5 , 6, atau 7 komponennya atau sub-perkaranya, iaitu sesuai dengan bilangan Rukun Islam, Rukun iman, dan tambahan satu benda yang dinamainya ihsan. Berbeza dengan Rukun Islam dan Rukun Iman yang memang diketahui umum, ihsan bukannya istilah yang tidak perlu dijelaskan lebih-lebih lagi ihsan (mungkin dengan variasi ejaan ehsan) juga bermakna tulus ikhlas, berperasaan Allah sentiasa melihat hambanya sepanjang masa, asyik kepada kecemerlangan (Alhabshi 1994), bahkan tingkat ilmu yang sama dengan ma‘rifaht (al-Attas 2010) maka tidaklah wajar ESQ 2008 tidak menjelaskannya langsung ihsan itu kecuali menyebutnya sebagai penyempurnaan (pipi 190, 230,286,299), dicatatkan pada pipi 29 sebagai “Hati (Value) yang Ihsan pada God Spot)”, pada 373, “membangun kejernihan hati yang 1”, dan di sisi kotak Zero Mind Process di pipi 396 yang memang tidak jelas maksudnya. Anggapan bahawa segala perkara yang berhubung dengan kejayaan seseorang adalah berdasarkan pada tahap EQ dan SQ yang diringkaskanya sebagai ESQ (masing-masingnya disalah-terjemahnya sebagai “kecerdasan emosi” dan “kecerdasan spiritual” oleh itu gabungannya “kecerdasan emosi” dan “spiritual”) yang terbit daripada amalan tiga Rukun (Rukun Iman, Islam dan ihsan) itu. Maka terbitlah bilangan 7 belenggu (iaitu prasangka, prinsip hidup, pengalaman, kepentingan, sudut pandang, pembanding dan fanatisme) yang merosakkan SQ seseorang dan oleh itu perlu disingkirkan menerusi “penjernihan emosi” dan sebagainya itu. Sudahlah bilangan ini Nampak dibuat-buat dan dipaksa-paksa (seseorang boleh mengurangkan atau menambah lagi bilangan belenggu ini dengan mudahnya), beliau sanggup pula “menyederhanakan” 99 Asmaul Husna (yang diiktirafnya sebagai nilai teras, istilahnya core values, yang perlu ditanam dan dipupuk penghayatannya oleh setiap manusia yuang ingin berjaya) kepada 7 spiritual core values, nilai dasar ESQ 2008 (dipilihnya Al-Mukmin, Al-Wakil, Al-Matiin, Al-Jami‘, Al-‘Adil, Al-Aakhir, dan Al-Sami‘ + Al-Bashir; masing-masingnya pula diterjemah-tafsirnya dengan tidak tepatnya pula sebagai Jujur, Tanggungjawab, Disiplin, Kerjasama, Adil, Visioner dan Peduli). Penuruan bilangan Asmaul Husna ini merosakkan status 99 Asmaul Husna yang selama ini dianggap sama penting dan merdeka antara satu dengan yang lain dan dengan menggabungkan pula dua sifat atau nama Allah yang tidak sepatutnya, Al-Sami’ dan Al-Bashir, itu benar-benar berpotensi boleh menjejas aqidah.

Dalam hal “Pembinaan Mental” seseorang itu supaya mencapai ZMP, ESQ 2008 menyarankan 6 prinsipnya yang perlu dibangunkan/dimiliki setiap satunya sepadan dengan 6 Rukun Iman, iaitu yang dinamainya “Prinsip Bintang” atau “Star Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman pertama, “Prinsip Malaikat” atau “Angelic Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang kedua, “Prinsip Kepemimpinan” atau “Leadership Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang ketiga, “Prinsip Pembelajaran” atau “Learning Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang keempat, “Prinsip Masa Depan” atau “Visionary Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang kelima (Percaya kepada Hari Kiamat), dan akhirnya “Prinsip Keteraturan” atau “Well Organised Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang keenam (percaya kepada Qada’ dan Qadar). Ulasan kepada pencungkilan setiap prinsip ini akan dibicarakan kemudian. Di sini hanya hendak dibangkit soal yang nampak diada-adakan tentang bilangan 5 nilai bagi setiap prinsip ini yang diterbitkan daripada setiap Rukun Iman itu. Contohnya dikatakannya nilai rasa aman, kepercayaan diri, integritas, kebijaksanaan dan motivasi yang terbit daripada “Kepercayaan kepada Allah” dan begitulah bilangan nilainya daripada prinsip lain-lain atau Rukun Iman yang lain itu. Sepatutnya perolehan nilai daripada Rukun Iman pertama itu di peroleh daripada Suraht al-Ikhlas atau “Sifat 20” atau sekurang-kurangnya “Sifat 13” (Lihat Kitab Ahmad al-Fatdany) yang tidak terikat kepada bilangan 5 itu. Begitu jugalah yang lain-lain itu semestilah berasaskan kepada tafsiran yang asas, piawai dan oleh ulama muktabar. Jelaslah bilangan 5 nilai daripada setiap Prinsip atau Rukun Iman itu tidak mencukupi, dan lagi sekali berpotensi merosakkan kefahaman seseorang terhadap Rukun Iman itu.

Dalam membicarakan Kekuatan Peribadi, atau istilahnya “Ketangguhan Peribadi” atau yang dipopularkannya ”Personal Strength”, bab ke-3 ESQ 2008 menegaskan bagi mencapainya seseorang yang telah memiliki 6 prinsip “Pembinaan Mental”atau “Menthal Building” yang dibicara di dalam bab kedua dahulu itu selanjutnya diutarakannya perlulah memiliki pula 3 pedoman pelaksanaan prinsip itu yang diperolehnya daripada 3 pertama daripada Rukun Islam, iaitu “Penetapan Misi”atau yang dipopularkannya ”Mission Statement” daripada Dua Kalimah Syahadat, “Pembinaan Karakter” atau yang dipopularkannya ”Character Building” daripada sholaht lima waktu, dan “Pengendalian Diri”atau yang dipopularkannya ”Self Control” daripada puasa. Setiap satu pedoman ini pula terdapat 6 perkara implikasinya, kecuali pedoman terakhir, “Pengendalian Diri”, dipilihnya menjadi ada 5 tujuan implikasinya; dan di sini juga jelas bilangan ini diada-adakan bagi mencapai sebanyak bilangan Rukun Iman atau Rukun Islam itu sahaja. Contohnya mengikut al-Qur’aan, sholaht itu penghindar kejahatan (Suraht al-Kabut 29:45) dan mengubat keluh-kesah (Suraht alMa ‘arij 70:19) manakala puasa itu pemupukan taqwa (Suraht al-Baqaraht 2: 183) tiada di dalam natijah “Pembinaan Karakter” dan “Pengendalian Diri” itu. Rasanya, apa pun sebabnya tiga natijah daripada al-Qur’aan ini diabaikan amatlah sukar ditelan oleh para pembacanya.

Di dalam bab ketiga dibicarakan kekuatan sosial atau istilahnya “Ketangguhan Sosial” atau yang dipopularkannya “Social Strength” diutarakan 2 prinsip daripada 2 terakhir daripada Rukum Islam itu dengan masing-masingnya bernatijah sebanyak 5 dan 6 perkara, iaitu bilangan Rukun Islam dan Rukun Iman itu juga. Lagi sekali bilangan natijah ini pun diada-adakan sahaja.

Sekarang tibalah masanya untuk mengulas setiap satu bab buku itu. Isu pertama ialah “Zero Mind Process”, yang diringkaskannya ZMP (pipi 84), yang memang tidak mahu diterjemahnya (Sama seperti istilah-istilah lain lagi di dalam buku ini kerana “untuk memudahkan sosialisasi ide dalam era globalisasi” , katanya di pipi xvii ) walau pun di pipi 24 beliau menterjemah “zero mind” sebagai “pikiran bersih” dan pipi 83 beliau menterjemah-tafsir “Zero Mind Process” sebagai “pembentukan hati dan pikiran yang jernih dan suci” yang bunyinya elok tetapi bukan itu yang dimaksudkannya sendiri pun. Isu istilah dan bahasa amnya di dalam buku ESQ 2008 yang dikira tidak memuaskan itu akan dibicarakan berasingan nanti. Di sini persoalan perkaranya sahaja, dan bagi mengikut rentaknya, istilah ZMP dan ZM (untuk Zero Mind) digunakan. Begitu juga dengan istilah-istilah lain akan dirujuk sama seperti yang dipakai di dalam ESQ 2008 itu dengan biasanya diungkapkan di dalam tanda kutip.

Sukarnya diterima ZMP dan “Suara Hati”

Persoalan pertamanya, wujudkah ZM itu?; atau adakah mungkin manusia ini mencapai ZM melalui penyingkiran 7 perkara penghambatnya yang disenaraikan di dalam ESQ 2008 itu (dan telah juga disenarai di atas)? ESQ 2008 berhujah panjang lebarnya betapanya minda manusia ketika unggulnya (berdaya karya tinggi dan mendapat kebenaran) adalah dalam keadaan ZM (terjemahan kami, minda kosong) daripada segala benda kecuali suara hati. [Ada beberapa istilah lain lagi yang digunakan: hati nurani (pipi 7 ), suara hati nurani (pipi 24), suara hati manusia (pipi 87), suara hati ilahiah, suara hati spiritual (pipi 86 dan 103), semuanya terjemahan self conscience); dan satu lagi yang terpencil, kesadaran diri (terjemahan self awareness, di pipi 9). Suara hati inilah kononnya kepintaran yang dianggapnya sentiasa membawa kebenaran! Isu yang agak seanalognya telah lama dipolemikkan di dalam falsafah Barat dan Tamadun Islam, iaitu yang diistilahkannya di dalam bahasa Latin, tabula rasa (yang bermakna slet atau papan batu kosong), yang di segi falsafah/epistemologinya ada mazhab yang berpendapat manusia ini dilahirkan tabula rasa yang bermaksud manusia dilahirkan tanpa apa-apa binaan mentalnya, dan apa-apa pengetahuannya atau kepintarannya datang daripada pengalaman dan persepsinya sahaja. Inilah yang melahirkan perbahasan yang tidak berkesudahan hingga kini, tabii lawan asuhan (nature versus nurture) atau yang berimanya sediakala lawan sediabela: mereka yang percaya kepada manusia tabula rasa berpihak kepada asuhan atau sediabela (e didalam “emas”), iaitu pengasuhan, pembelaanlah atau pemeliharaanlah yang menentukan sahsiah, kelakuan emosi dan sosial serta kepintaran (intelligence; di dalam ESQ 2008 intelligence ialah “intelektual”, walaupun ada sekali rasannya diistilahkannya sebagai “otak” di pipi xvi. Tentang Istilah ini dibicarakan berasingan lagi di dalam isu bahasa nanti). Mengikut Wikipedia di internet (lihat Rujukan), perbahasan tentang tabula rasa ini bermula sejak Aristoteles (diInggeriskan sebagai Aristotle) lagi yang bertentangan dengan pandangan Plato (yang diArabkan sebagai Aflatun). Plato/Aflatun percaya aqal (Latin: intellectus) atau minda (Latin: mens, mentio; Yunani: memona, mantis) seseorang ada sejak sediakala, tabii, semula jadi atau azali lagi, bukannya terbina atau menerusi pengalaman hidup manusia itu. Ramailah sarjana Tamadun Islam yang berpegang kepada falsafah Plato/Aflatun. Namun Ibn Sina (abad ke-11 M) adalah sarjana yang kuat memegang kepada Aristoteles, manusia tabula rasa (iaitu aqal atau intellectus manusia ketika dilahirkan itu tiadalah apa-apa, kosong). Begitu jugas dengan Ibn Tufayl/Tufail (DiLatinkan sebagai Ebn Tophail atau Abubacer drp nama pertamanya) dalam abad ke-12 M yang karyanya berkenaan manusia tabula rasa yang diterjemah ke dalam Latin dalam kurun ke-17 M dan mempengaruhi pandangan ahli falsafah Barat yang masyhur, John Locke (ahli falsafah Inggeris yang meninggal 1707), tentang benarnya manusia tabula rasa yang melahir empirikisme/tajrabisme Lock itu. Gerejawan abad ke-13 M turut berbahas hebat tentang pandangan Aristoteles dan Plato dengan menyaksikan kemuncaknya pada Thomas Aquinas (berpegang kepada Plato) melawan St Bonaventure (berpegang pada Aristoteles) yang nampaknya memihak kepada Aquinas yang percaya kepada tabula rasa. Thomas Hobbes (ahli falsafah Inggeris yang meninggal pada 1679) dianggap sarjana Barat penentang teori tabula rasa John Lock kerana beliau berpendapat setiap manusia memang dilahirkan mementingkan diri. Namun teori manusia tabula rasa mengatasi lawannya dan menjadi popular dan dianuti umum Barat dalam akhir abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20. Setiap orang yang percaya kepada gen atau baka yang menentukan kepintaran seseorang adalah tidak berpihak kepada manusia tabula rasa. Mahathir, dalam bukunya Dilemma Melayu atau versi asalnya The Malay Dilemma (tahun 1970-an) juga tidak percaya kepada manusia tabula rasa apabila beliau percaya kepada gen Melayu yang lemah (Kini dipercayai beliau sudah berubah daripada pendirian beliau yang dahulu itu). Walau bagaimanapun sejak pertengahan abad ke-20, Barat semakin condong kepada manusia bukan tabula rasa ekoran daripada persoalan penentuan tupuan/rimuan (tuan-puan/rijal-muannath/gender) dan kajian kelakuan manusia kembar.

Sementara ahli sains Barat masih belum menyelesaikan masalah ini, ajaran Islam lebih bersifat pertengahan tabula rasa dengan bukan tabula rasa kerana adanya hadith masyhur riwayat Ahmad, yang bermaksud kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci, putih bersih dan sebagai) dan ibu-bapanyalah yang menentukan Majusi-Nasraninya kanak-kanak itu. Ungkapan “putih bersih” dalam hadith ini tentunya bukannya bermakna minda kosong atau “zero mind”, atau tabula rasa; bahkan minda kanak-kanak itu sudah dilahirkan dengan benih “nilai islam”. Benih inilah yang boleh berkembang subur atau mati kemudiannya menerusi pendidikan (formal, informal dan nonformal) dan sebagainya itu. Di dalam Islam juga ada ajaran yang menegaskan dalam setiap badan manusia itu ada seketul qalb (diterjemah sebagai hati selain daripada ditransliterasikan kepada kalbu); baik-buruknya manusia itu bergantung pada kesihatan qalb-nya itu. (Hadith Riwayat Bukhari). Ini pun tidak bermakna manusia itu tabula rasa sepenuhnya. Penetapan makna Qada’ dan Qadar mengikut aliran ahl Sunnah wa al-Jamaah pun memutuskan kedudakan pertengahannya antara tabula rasa dengan bukan tabula rasa atau sediakala dengan sediabela. Kesimpulannya, suara hati wujud sediakala sebagai benih kebenaran sahaja dan menerusi jenis pendidikan kelak benih berkembang subur atau tidaknya sehingga tidaklah mungkin suara hati itu sentiasa membawa kebenaran.

Ajaran Kristian yang meresap masuk ke dalam teori kepemimpinan dan kepengurusan memang meletakkan suara hati di tempat yang suci, yang sentiasa bercakap benar, ialah yang diutarakan oleh Stephen Covey di dalam karya laris jualannya sejak cetakan pertamanya 1989, dan diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu Malaysia dan Indonesia (masing-masingnya terbitan 1994 dan 1996). Anehnya, tiadalah pula (yang kami dengar) sebarang reaksi negatif daripada para ulama terhadap karya ini walaupun sudah begitu lama di pasaran. Pengarang ESQ 2008 pun cukup banyak merujuk buku Covey yang menonjolkan nilai Kristian ini di merata tempat karyanya itu, walaupun tiadalah pengakuannya yang buku itu juga mempengaruhinya sedangkan intipatinya sama sahaja. Mungkinkan buku ini juga sebenarnya sekurang-kurangnya menjadi sumber inspirasi pengarang ESQ 2008? Beliau bahkan menegaskan ketika membicarakan peranan bahan bacaan dalam pemikiran manusia menegaskan Muslim seluruh dunia memang banyak yang terpengaruh dengan ajaran Covey (pipi 180). Di dalam falsafah moden ajaran bertuhankan diri seperti ini terdapat di dalam falsafah John Satre (mati 1980), wujudisme atau eksistensialisme. Namun tiadalah falsafah ini disebut pun di dalam ESQ 2008 itu. Falsafah ini terlampau ekstrim, iaitu mengenyahkan semua ajaran agama!

Mazhab-mazhab pemikiran atau falsafah sains Barat yang dominan sejak 1960-an ialah pemikiran Kuhn dengan teori paradigma sainsnya (lihat terjemahan karya suntingan keduanya 1970 terbitan 1997 oleh DBP; suntingan pertamanya 1962), Lakatos dengan teori atur cara penyelidikan sainsnya (lihat terjemahan karya suntingan keempatnya 1984 terbitan 2002 oleh UKM), Feyerabend dengan teori kaedah tentangannya (lihat karyanya suntingan ke-4, 2010; suntingan pertamanya 1975), dan Popper dengan teori pemalsuannya (lihat karyanya suntingan ke-2, 1968, cetakan ke-15, 2008 dengan terjemahan kepada Melayu Indonesia 2008; suntingan pertamanya 1958). Setiap satunya berbicara tentang tabii perkembangan sains tetapi setiap satunya tidaklah berganjak dengan andaian bahawa pembinaan idea, prinsip, hipotesis, premis dan sebagainya di dalam sains adalah berasaskan pada intuisi (suara hati), rasional, atau pendirian anarki (mengikut Feyerabend) dan pemalsuannya (mengikut Popper) yang dipersetujui oleh sesebuah komuniti yang berkongsi dan menghayati sistem nilai yang serupa. Tiadalah kebenaran mutlak yang terbit daripada sains Barat selama ini, malah mereka ini mematikan fahaman itu. Tiadalah juga berlakunya pengosongan minda atau ZMP seperti yang diperkatakan di dalam ESQ 2008 itu di kalangan ahli sains Barat (termasuk yang ditonjolkan namanya di dalam ESQ 2008 seperti Copernicus dan Einstein) yang terpancar daripada kajian mereka ini terhadap korpus sains Barat selama ini. Yang sepunyanya pemikiran mereka ini ialah bagaimana mereka ini membina falsafah sains yang menolak agama sebagai komponen sains yang mengikut penilaian sarjana teis (Muslim dan bukan Muslim) mereka masih belum berjaya. Mereka juga tidak berjaya mencapai kata sepakat terhadap hasil perkembangan sains selama ini iaitu adakah melonggok atau berlonggok-longgok hasil peninggalan yang diabaikan.

Sarjana yang bergiat di dalam “pengislaman ilmu” bukan aliran Bucailleisme semuanya berpegang kepada falsafah bahawa sains apa pun dan oleh siapa pun adalah sarat nilai, dan oleh itu sains moden pastinya sarat nilai (emosi dan ruhani) modenisme atau pasca-modenisme dengan segala macam –isme itu yang setiap satunya sarat pertentangan dengan Islam dan oleh itu mereka menggesa supaya sains daripadanya perlulah ditapis menerusi saringan nilai (emosi dan ruhani) Islam sehingga sains itu berkemungkinan terpaksa ditolak semuanya atau dilakukan inovasi mengikut acuan nilai Islam. Hasilnya nanti ialah sains Islam yang tidak semestinya dogmatik atau statik kerana Islam juga membenarkan perbezaan pendapat dan inovasi (bid‘aht hasanaht). Tiadalah seorang sarjana besar pengIslaman sains yang mengesyorkan semacam ZMP itu bagi mendapat idea benar di dalam kegiatan pengisian pengIslaman sains itu.

Contoh yang dibicarakan di dalam ESQ 2008 tentang pertapaan, uzlah, atau khalwat sebagai kaedah mendapat kebenaran, makna kehidupan atau menyelesaikan masalah yang diamalkan oleh para nabi (diberi contohnya Nabi Ibrahim ‘AS, Nabi Musa ‘AS, dan Nabi Muhammad S.A.W) bukan bermakna mereka itu mahu mengosongkan minda terlebih dahulu tetapi memfokuskan atau memumpunkan jiwanya kepada emosi dan ruhani keIslaman di dalam mindanya yang sedia ada yang melalui kehidupan bermasyarakatnya menjadi bercampur-gaul dengan unsur-unsur bukan keIslaman. Kaedah ini memang diamalkan hingga sekarang oleh para pemimpin (organisasi atau negara), para penyair dan seseorang seniman atau pencipta (termasuk ilmuwan) amnya tetapi kata sifat Islam itu mungkin diganti sengan kata sifat yang lain seperti emosi dan ruhani kapitalisme, sosialisme, sekularisme atau sebagainya. Namun berbezanya natijah daripada cara ini, para nabi beroleh wahyu (yang sentiasa betul atau benar) atas pilihan Allah padanya, tetapi manusia biasa selamanya tetap hanya beroleh ilham atau intuisi/wijdan/suara hati atau inspirasi yang tidak semestinya betul atau benar. Hanya di dalam ajaran Hinduisme (selain Kristianisme yang telah dibicara sebelum ini) memang ada unsur-unsur beribadat mengosongkan minda mengikut pengertian ZMP di dalam ESQ 2008 itu seperti yang terkandung di dalam Bhagavadgita yang membawa seseorang kepada taraf suara hati Krishna atau kesedaran Krishna (Lihat Bhaktivedanta Swami 1983/2008).

Dengan pandangan di atas, ZMP di dalam ESQ 2008 itu, jelas secara sedar atau tidaknya oleh pengarangnyanya, adalah bertentangan sepenuhnya dengan konsep tabula rasa warisan Yunani yang bertentangan dengan pemikiran Islam yang dominan; selari dengan konsep suara hati warisan Kristian yang diangkat martabatnya sebagai asas teori kepengurusan dan kepemimpinan Covey; serasi dengan ajaran Hindu tentang martabat suara hati Krishna atau kesedaran Krishna; dan agak selari juga dengan falsafah wujidisme Sarte yang setiap satunya juga tidak serasi dengan ajaran Islam. Buat sementara ini pembaikan yang pantasnya yang patut dilakukan ialah menggantikan ZMP dan yang berhubung dengannya itu dengan konsep penghakisan sistem nilai (PSN) seseorang yang bertentangan dengan sistem nilai Islam. Sistem nilai ini dalam bahasa EQ dan SQ yang dibicarakan di dalam buku ESQ 2008 ialah aqal, emosi dan ruhani yang semuanya perlu dibezakan antara yang Barat dengan yang Islam.

Dalam perbincangan ZMP itu sendiri banyak contoh mereka yang dianggap berjaya yang dipaparkan di dalam ESQ 2008, yang terdiri daripada sarjana/tokoh Barat (bukan Islam), kononnya mengiktiraf pentingnya ZMP di merata tempat bukunya itu. Namun tiada pula dengan jelasnya tokoh-tokoh itu ditunjukkan memang pernah mengamalkan ZMP itu. Tokoh-tokoh yang disebut itu ialah MacScheler (yang dipetiknya sebagai wakil sarjana Barat yang mengiktiraf perasaan cinta kebaikan itu azali), Paul Sarbanes dan Michael Oxley (dianggapnya sarjana berjasa Barat kerana menjadi pemprakarsa/inisiator penintaan nilai ruhani (tentunya ruhani Barat) di dalam semua perusahaan yang berdaftar di The Security Exchange Commission/SEC , AS), Dale Carnegie (telah lama terkenal dengan karyanya di dalam komunikasi yang komponen dominannya memanglah emosi), Victor Frankle (ahli psikologi Barat yang dipetiknya sebagai seorang yang membuktikan kepentingan modal ruhani/spiritual capital lebih daripada daripada modal kebendaan/material capital), Kouzes dan Postner (dengan karya besarnya, Leadership Challenge 2002 yang mengiktiraf emosi sebagai perkara dominan). Seterusnya diheretnya lagi tokoh-tokoh yang dibicarakan oleh Downs di dalam bukunya Books that Change the World (atau versi terjemahannya di Indonesia, Buku-buku Pengubah Sejarah) dan tokoh-tokoh yang dikaji oleh David Schwartz di dalam bukunya Keajaiban Berpikir Besar (atau versi asalnya, The Magic of Thinking Big) yang kedua-duanya dipetik dengan positifnya, walaupun belumlah terbukti atau dibuktikannya sendiri oleh pengarang ESQ 2008 itu yang mereka itu melalui ZMP. Bahkan tiga orang sarjana agung di dalam bidang kepintaran atau kecerdasan abad ini yang diakui pengarang ESQ 2008 sendiri juga menjadi inspirasinya, Goleman (bapa EQ) dan Zohar & Marshall (bapa SQ), tidaklah diketahui yang mereka ini mampu berkarya sebegitu menggegarkan dunia di abad ini kerana melalui proses ZMP atau tidak. Yang terkenalnya, seperti yang sudah disebut sebelum ini, para pemikir agung dan sarjana besar itu biasanya mengakui menggunakan intuisi atau istilah warisan tamadun Islamnya wijdan yang tidak pernah pula dikaitkan oleh sesiapapun lagi yang penajaman intuisi ini semestinyalah menerusi ZMP itu, walaupun menerusi thariqaht di dalam sesebuah ajaran tasawuf atau sufi yang dikatakan sampai di maqam kasyaf, menikmati tahap kenikmatan dzawq dan sebagainya itu. Apapun hal ini tidak pula dibicarakan di dalam ESQ 2008; bahkan di dalam ESQ 2008 itu ada hanya sedikit sahaja bicara tentang intuisi (pipi 118-120), iaitu sebagai unsur sampingan di dalam gagasan “suara hati” itu. Petikan di dalam ESQ 2008 tentang pandangan Muhamad Abduh bahawasanya iman (kepada Islam) itu wujud pada minda manusia sejak azali lagi juga tidak membuktikan benarnya teori ZMP itu. Ini hanya menyatakan benih keimanan seseorang sahaja yang tidak mungkin kekal begitu sebaik sahaja kanak-kanak itu membesar kerana “persekitaranlah pula yang mendidiknya” sebagaimana yang ditegaskan oleh dua hadith masyhur yang telah disebut sebelum ini.

Perbincangan banyaklah berkisar pada bagaimana 7 perkara penghambat kesucian suara hati yang mempengaruhi pemikiran seseorang itu perlu disingkirkan dengan cara yang diperakukan itu. Andaian besarnya ialah manusia ini sudah dilengkap dengan fitrah baik yang dikendali oleh “suara hati”, iaitu manusia ini bukannya tabula rasa. Jika seseorang dapat mengosongkan semua benda lain maka yang tinggalnya hanya kebaikan sahaja, “suara hati”, yang kononnya berada di suatu tempat di dalam minda atau otak manusia itu dan dinamainya God Spot atau Titik Tuhan. Katanya keputusan manusia berasaskan suara hati ini tentunya betul! Apa-apa masalah, tanyalah “suara hati…. Sama dengan satu ungkapan di dalam sebuah lagu klasik Melayu nyayian P.Ramlee dan Normadiah, “tanya sama hati, apa asal sayang”. Tentunya “suara hati” yang dimaksudkannya itu bukannya intuisi itu kerana sudah banyak terbukti ilmu atau keputusan yang dikatakan oleh pencipta atau pembuat keputusan itu “berdasarkan intuisinya” kemudiannya didapati tidak betul! Kebetulan ada buku laris jualan yang membicarakan intuisi ini yang diistilahkan sebagai “kelipan mata” atau blink dan itulah judul buku itu The Blink karya pengarang terkenal kini, Gladwell (2005/2007) yang cuba meletakkan intuisi pada tempat yang lebih sepatutnya lagi, iaitu keperluan menggunakannya seperti pada masa yang sangat terdesak dan banyak pembolehubahnya dan kehebatannya membicarakannya menjadikan bukunya laris jualan! Benarlah tradisi Islam, terutamanya aliran sufi, meletakkan wijdan sebagai satu daripada kaedah sains yang tinggi martabatnya tetapi tidaklah meletakkannya seolah-olah sama dengan wahyu (iaitu sentiasa betul). Pengarang ESQ 2008 mungkin terlampau mengikut kata hatinya apabila meletakkan “suara hati” sebagai sumber kebenaran, kalau pun jika tidak dipengaruhi oleh ajaran agama atau sarjana lain. Bahkan kata pepatah Melayu, “ikut rasa binasa, ikut hati mati”, dan ini tetap ada nilai kebenarannya juga, bahkan pepatah ini mengajar kita supaya berwaspada juga terhadap “hati” kerana kita bukan nabi atau rasul yang hatinya dihembusi wahyu lalu mendapat sifat maksum itu. Orang lain tidak pernah mendapat sifat itu!

Kritikan Teori Maslow yang Masih Tidak Menghayati Tradisi Islam

Walau bagaimanapun ada beberapa ketikanya pengarang ESQ 2008 boleh dipuji dengan beberapa kritikan membina terhadap teori-teori Barat di dalam buku beliau ini dan seterusnya melakukan pengIslamannya. Di dalam bab pertama ini, perihal ZMP itu, beliau mengkritik teori Maslow (1943) tentang hierarki keperluan asasi manusia yang dikatakannya teori itu terbalik hierarkinya (pipi 56). Katanya perkara ini disadari sendiri oleh Maslow pada akhir hayatnya! Namun tiadalah rujukan yang diberinya tentang teori Maslow asal dan perubahan pendiriannya ini. Katanya lagi, keperluan “spiritual” adalah keperluan pertama manusia bukannya keperluan akhir. (Istilah terjemahan Inggeris bagi hal ini di dalam teori Maslow ialah self-actualization, yang mungkin sekali sudah lama juga diterjemah kepada bahasa Melayu sebagai swa-aktualisasi atau aktualisasi diri/kendiri/sendiri, bahkan ESQ 2008 sudah mengambil “aktualisasi diri” di pipi 388). Malangnya, beliau langsung tidak merujuk pandangan Islam yang muktabar seperti al-Attas (1996) yang selalu menyebut tiga tingkat perkembangan keperluan manusia: nafs al-amaraht, nafs lawwaamaht dan nafs al-mutdma’innaht bagi menggantikan teori Maslow itu; dan baru-baru ini kami (KuPELEMA 2008) jumpa di dalam manuskrip Malayu lama (bebebrapa abad yang lepas; warisan Tamadun Islam juga) penahapan yang lebih terperinci lagi sehingga kepada 7 peringkat nafs; yang terakhir dan tertingginya nafs kamal dengan perinciannya selepas nafs lawwamaht itu ialah nafs mul-hdamah, nafs mutdmainnaht, nafs raa-dhiyah, nafs mar-dhiyah dan nafs kamal. Ini benar-benar mencabar lagi pengIslaman ESQ 2008 terhadap hierarki keperluan manusia itu.

Pengaruh de Bono?

Pengarang ESQ 2008 juga nampaknya meminjam ungkapan sarjana pemikiran berdaya karya Barat yang terkenal, Edward de Bono, tanpa sebut hormat kepadanya, kerana antara puluhan buku karya de Bono itu tentang pemikiran sisi/lateral yang masyhur itu ada sebuah daripadanya berjudul The Six Thinking Hat yang persis sama sosoknya dengan nama pemikiran yang berasaskan Asmaul Husna itu sebagai 99 Thinking Hat (pipi 69-72; yang diterjemahnya di pipi 109 sebagai Topi Berpikir 99 Suara Hati). Aneh juga, tiadalah sebarang rujukan kepada karya de Bono di dalam ESQ 2008 itu, sedangkan kaedah pemikiran de Bono berpengaruh besar di dalam dunia pemikiran berdaya pengaryaan yang menjadi isu yang diminati dan cuba dimodelkan menerusi ESQ 2008 itu. Berfikir menggunakan Asmaul Husna, selain daripada kesilapan “penyederhanaan” beliau yang disebut sebelum ini, memang suatu daya pengaryaan yang bitara, walaupun contoh yang diberikan di pipi berkenaan (pipi 69-72) itu tidaklah meyakinkan sangat akan kerelevanannya sehingga menjana keputusan yang diambil itu.

Apa pun perbincangan belenggu yang keenam kepada ZMP, “Pembanding”, adalah yang terburuk berbanding dengan perbincangan belenggu-belenggu yang lain itu. Contoh yang lebih canggih dan tinggi pemikirannya perlulah diperoleh.

Gaya Penumpangan Sekaki dalam penulisan di “Bagian Satu” dan Berikutnya

Suatu yang lumrah berlaku di dalam penulisan tentang keunggulan pandangan, prinsip atau teori Islam ialah pemberian contoh orang bukan Islam yang didakwanya bersesuaian dengan pandangan Islam dan sebagainya itu. Ini yang kami namainya gaya penulisan penumpangan sekaki yang menjadi ciri penghayatan Bucailleisme itu. Gaya ini amatlah mengecewakan pembaca yang kritis, dan tidak membantu mengukuhkan keunggulan Islam yang dicita-citakan itu. Karya ESQ 2008 ini memang banyak berlakunya perkara ini kerana gaya yang sama seperti yang telah disebut di atas dan sebenarnya di dalam bab-bab selanjutnya juga. Di dalam bab ke-1 (“Bagian 1”) ada dua contoh yang menyumbang kepada keadaan ini. Pertamanya ketika diberinya contoh sarjana Barat (bukan Islam), David Schwartz yang dikatakannya menulis tentang kebaikan Asma al-Husna dengan berlapik “tanpa disadarinya”. Bahkan dikatakannya karya David Schwartz ada idea yang sepadan dengan suara hati ilahi khususnya sifat Allah, Al Kabiir (pipi 80). Dengan penonjolan sebegini, persoalannya ialah apa perlunya seseorang mengetahui Islam dan khususnya Asma al-Husna dalam menerbitkan sesuatu konsep atau ilmu ini sedangkan ilmu yang sama sentiasa dapat diterbitkan oleh “orang luar” (orang bukan Islam)dan lebih awal daripada orang Islam! Sampai bila orang Islam mahu menurut orang bukan Islam, jika kita hanya asyik mengeyakan teori mereka menerusi agama kita? Seseorang boleh juga menyimpulkan bahawa, sekurang-kurangnya dalam hal ini, apa-apa nilai di dalam agama Schwartz itu samalah dengan yang di dalam Islam. Bukankah ini unsur jamakisme? Contoh keduanya, ialah pemilihan perkara yang bukan sahaja tidak bersumberkan Islam tetapi bersumberkan propaganda musuh Islam, seperti propaganda Yahudi. Ini berlaku apabila ESQ 2008 menonjolkan filem Life Is Beautiful (di pipi 38-41) untuk menegak sebuah pandangan yang jika dianggap murni sekalipun, dicemari oleh propaganda Yahudi. Filem ini terkenal dengan unsur propaganda Yahudi dan menjadi faktor kemenangan anugerahnya juga! Ini mungkin sekali kesilapan pengarang ESQ 2008 yang tidak sengaja sahaja, tetapi kalau mengikut teori “suara hati” beliau itulah agaknya ketika dia kurang “berhati-hati”. Contoh-contoh lain lagi disebut satu persatunya kemudian.

Penjelasan Peranan Rukun Iman Pertama yang tidak Kesampaian

Dalam bab ke-2 (Istilahnya “Bagian 2”), pembicaraan ditumpukan kepada cara-cara meningkatkan EQ seseorang yang diistilahnya sebagai “Pembinaan Mental” atau “Mental Building” itu. Di sinilah (dan bab-bab berikutnya) daya pengaryaan ESQ 2008 semakin tertonjol, iaitu khususnya bagaimana pengarangnya dapat menggunakan Rukun Iman sebagai landasan pemikirannya. Kelemahannya selain daripada taasub kepada bilangan setiap perkara sebanyak 5 di dalam setiap 6 prinsip daripada Rukun Iman itu, yang telah disebut sebelum ini, ada lagi beberapa yang wajar ditimbulkan di sini.

Dalam membicarakan 5 nilai daripada Rukun Iman pertama “kepercayaan kepada Allah” dengan 99 nama itu (“Asmaul Husna”) tidak dibicarakan dengan baiknya, bahkan nilai “kebijaksanaan” sukar ditentukan tempat bicaranya. Penulisan di bawah judul intuisi (pipi 118) hanya membayangkan adanya hubungan intuisi dengan “suara hati” atau “rasa” sambil memaparkan dua petikan ayaht al-Qur’aan: satu pada awal judul dan satu pada akhir judul “Intuisi” itu, tanpa tafsiran apa-apa!. Di dalam awal-awal prinsip yang dibicarakan di bawah judul “Spiritual Wisdom” (pipi 106-109) pun tiada bicara hal kebijaksanaan itu. Yang dikaitkan dengan “kebijaksanaan” ialah “99 Thinking Hat (Topi Berpikir 99 Suara Hati)” yang dijadikannya sebagai “sumber suara hati” lalu menyenarai (tanpa banyak bicara) 5 contoh dorongan daripada 5 nama Tuhan pilihannya. Yang merosakkan hujah-hujanya ialah apabila beliau memberi contoh peribadi bijaksana yang hebat itu daripada tokoh bukan Islam, iaitu Levi Strauss! Dikatakannya Levi Strauss menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh syarikatnya dengan adil dan bijaksana yang boleh dijadikan contoh sebagai orang yang mengamalkan “kesatuan tauhid atau prinsip esa” dengan menggunakan Asmaul Husna (pipi 108). Ini satu contoh unsur Bucailleisme yang jelas memupuk liberalisme dan jamakisme/pluralisme itu. Kemudian “Integritas” dibicarakan tanpa apa-apa yang bersangkut dengan Rukun Iman pertama kecuali sekadar petikan Suraht Ali ‘Imran 3: 121 pada mula judul bicara tetapi tanpa tafsiran apa-apa (gaya begitu dilakukanya di merata tempat buku ESQ 2008 ini). Nilai “rasa aman” ditegaskan sahaja muncul menerusi kepercayaan diri kerana “keyakinan akan Allah Yang Agung”; “Yang Abadi” (pipi 112) timbul kerana “berprinsip pada suatu yang Kekal” (dengan petikan Stephen Covey yang kurang relevan, di pipi 113), bercontohkan peninju besar, Prince Naseem Hameed yang berpegang kepada fahaman “Yang Terbesar (The Greatest) itu hanya Allah” atau Laa ilaaha Illallaah (pipi 114), “kembali kepada prinsip” dan “berpegang kepada Tuhan” tanpa penjelasan apa-apa (pipi 115), atau menerusi pengakuan wujud “Yang Esa” (pipi 116) di samping, lagi sekali, memberi contoh orang bukan Islam pula, Fareira (pipi 117), menghayati ciri yang dibicara! Akhirnya motivasi daripada ucapan sepanjang masa “ Maha Besar Allah” atau “Allah Akbar” (sepatutnya “Allahu Akbar”) di pipi 120-121. Begitu ringkasnya bicara itu mengurangkan keyakinan terhadap pandangannya itu.

Dalam bicaranya tentang kejayaan rakannya (kerana, antara lainnya, berprinsip “integritas” daripada Rukun Iman pertama yang berinteraksi dengannya), sebagai catatan sisiannya, beliau mendedahkan penerimaan Hadiah berbentuk GMS daripada rakannya itu dengan nombor “yang cantik” dengan akhiran triple one” (tiga lipat satu) yang naifnya dipadankan dengan ungkapan Laa ilaaha illallah itu (ada tiga kata) agak bombastik dan kurang sesuai dan ada semacam unsur mengada-ada, mengolok-olokkan dan berkelakar dengan ungkapan yang suci itu, bahkan boleh menimbulkan fitnah seperti yang dilaporkan di dalam akhbar Sinarharian yang telah dirujuk pada awal makalah ini. Penamaan prinsip pertama beliau daripada Rukun Iman pertama sebagai “Star Principle” atau “Prinsip Bintang” juga “tidak kena” kerana membawa kepada konotasi penyekutuan dengan astrologi, atau istilah Melayu-Sanskrit, hora, atau Melayu pasca-Hindu-Buddhanya, ilmu nujum yang khususnya ilmu Bintang Dua Belas, atau istilah Melayu-Inggeris sekarang horoskop yang penuh khurafat (bertentangan dengan ajaran Islam) tetapi begitu berpengaruh dan berkuasa pada zaman jahiliah yang malangnya masih berleluasa kepercayaannya hingga kini.

Bicara Peranan Rukun Iman yang Tidak Kena Sasaran

Bicara prinsip kedua yang dinamainya “Angel Principle” atau “Prinsip Malaikat”, walaupun tepat namanya daripada Rukun Iman ke-2, juga mengandungi kelemahan yang serupa, melainkan nilai “integritas” dan “loyalitas” yang jelas terbit daripada sifat Malaikat itu; walaupun ini juga tidak dibicarakan dengan cukup baiknya. Nilai daripada “suka memberi dan mengawal” daripada prinsip ini dikaitkan dengan hanya kepada seseorang yang sering membaca Basmallah yang agak jauh daripada Rukun Iman kedua itu. “Komitmen” dibicarakan dengan mengaitkannya dengan ucapan salam yang juga jauh daripada Rukun Iman yang sama. Dua lagi nilai yang disenaraikan sebagai terbit daripada “Prinsip Malaikat”, iaitu “kebiasaan menolong” dan “saling percaya” langsung tidak dibicarakan. Sebenarnya, nilai “kebiasaan menolong” tidak perlu disenaraikan kerana sudah termasuk di dalam “kebiasaan memberi” itu. Inilah akibat keinginan amat pengarang buku ini, dengan apa cara pun agaknya, menyenaraikan 5 nilai (bilangan rukun Islam) daripada Prinsip Malaikat! Jikalaulah beliau menumpukan kepada tokoh-tokoh malaikat yang besar yang wajib diketahui itu pun (seramai 10 orang itu) nescaya beliau akan mendapat nilai-nilai yang lebih bernas dan asasi lagi walaupun terbebaslah daripada bilangan lima yang dicitainya itu.

Prinsip Kepemimpinan yang Tersasar

Prinsip ketiga daripada Rukun Iman yang ketiga diambilnya Nabi Muhammad sahaja sebagai sumber untuk mendapatkan “Prinsip Kepemimpinan”. Ini tidaklah salah. Namun amatlah banyak sudah tulisan tentang kepemimpinan Nabi Muhammad SAW yang malangnya tiada sebuah pun yang dirujuk di dalam ESQ 2008. Penumpuan hanya kepada Nabi Muhammad sahaja tentunya tidak berapa kena dengan Rukun Iman itu sepenuhnya kerana 25 orang nabi dan rasul yang wajib diketahui itu tentunya mempunyai sifat kepemimpinan yang bitara yang perlu dicungkilkannya walaupun mungkin beroleh lebih daripada 5 atau 6 yang ditaasubinya itu. Apa pun sepatutnya sifat-sifat am seseorang nabi yang wajib ada iaitu shidiq, amanaht, tabligh dan fatdanaht sahaja pun sudah cukup untuk dicungkil prinsip kepemimpinan daripadanya berbanding dengan tindakannya semacam merayau mencari yang lain yang tidak jelas asasnya. Anehnya ini pun tidak dilakukannya. Benarlah katanya “pemimpin itu adalah pengaruh” tetapi apakah yang menyebabkan seseorang itu berpengaruh itulah yang perlu dibicarakan di dalam mendapatkan prinsip kepemimpinan yang cuba diperolehnya daripada kepemimpinan Nabi Muhammad SAW itu. Tumpuannya kepada 5 tingkat pemimpin agak tersasar daripada matalamat itu bahkan hal tingkat yang kedua, “pemimpin yang dipercayai” yang diturunkannya kepada “integritas” tidaklah penting dalam konteks keseluruhan isunya, iaitu “pembinaan mental” kerana nilai ini sudah pun dibicarakan di bawah prinsip pertama (daripada Rukun Iman pertama itu). Begitu juga tingkat 3, “pembimbing”, yang diturunkannya kepada “pemotivasi”, atau isu motivasi, yang sudah ada di dalam prinsip pertama. Tingkat ke-4, iaitu ‘berkepribadian’ memang bagus perbincangannya dan relevan dengan kepemimpinan sebagai “pengaruh”. Namun tingkat ke-5, perihal pengekalan pengaruh atau yang diistilahkannya sebagai ‘pemimpin abadi’ itu masih banyak yang perlu difikirkannya. Umpamanya beliau hanya menegaskan untuk mencapai tahap itu seseorang perlulah mengikut “suara hati” atau intuisi sahaja kerana kononnya itulah asalnya segala kebenaran. Beliau bergantung pada pandangan sarjana bukan Islam bernama Sorokin. Gaya menumpang sekaki orang bukan Islam ini diteruskan lagi dengan lebih hebat lagi apabila beliau juga dengan mudah menjual nama Plato, Aristoteles, Plotinus, Augustinus, Thomas Hobbes, Bergson, Spinoza, Jung, Whitehead dan John Mill sebagai tokoh-tokoh pembawa kebenaran ini (pipi 164). Ini suatu kesilapan yang besar! Hampir setiap tokoh itu sebenarnya bercakap atau berfalsafah yang ada banyak unsur yang bertentangan dengan Islam! Pandangan di dalam ESQ 2008 yang ekstrim ini sudah pun diperkatakan sebelum ini. Lagi sekali pendekatan Bucailleisme ini mengundang kepada liberalisme dan jamakisme itu. Sesungguhnya isu kepemimpinan amatlah besar dan berat yang tidak mungkin adil dan wajar dibicarakan seperti di dalam ESQ 2008 itu walaupun memang agak panjang juga, iaitu 24 halaman (pipi 142-146), tetapi sedikit pun tiada rujukan dilakukan kepada khazanah ilmu ini di dalam tradisi Islam (bahkan khazanah di dalam rumpun Melayu serta Barat mutakhir sebagai perbandingan) bagi mendapatkan prinsip kepemimpinan yang bernas daripada Rukun Iman ke-3 itu. Lihat perincian isu ini di dalam Shaharir (2008)

Tafsir Baru Iqra’ dan al-Faatihah yang Mengundang Bid ‘ah Dhalaalaht

Bicaranya tentang “Learning Principle” atau “Prinsip Pembelajaran” daripada Rukun Iman ke-4, berimankan kitab-kitab Allah, pengarang ESQ 2008 mengambil al-Qur’aan kepada ayaht pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu Iqra’ …itu. Tiadalah masalahnya dengan mentafsirkan perkataan itu, yang terjemahan harfiahnya memang “baca” itu, bermakna bukan sahaja membaca biasa itu (baca dan faham bahkan menilai dengan kritisnya), apatah lagi membaca tanpa kefahaman, bahkan sesuailah dengan ungkapan Melayu seperti “dia tak dapat baca peristiwa itu”. Akan tetapi beliau meneruskan tafsiran membaca itu dengan “membaca keluar (Outer Journey)” dan “membaca ke dalam (Inner Journey)” (kedua-dua padanan istilah itu rasanya kurang tepat), serta menjadikan al-Qur’aan sebagai pedoman ada menimbulkan masalahnya. Pertamanya, rasanya dua konsep pembacaan ini pastinya bukan karyanya tetapi beliau tidak pula memberi sumber asalnya. Katanya “membaca ke dalam” bermaksud “mengenal dan berfikir tentang eksistensi diri serta Tuhan sebagai Pencipta” manakala “membaca keluar” bermaksud menjawab soalan makna sesuatu benda, tujuan benda dan sebagainya sehingga jawabannya itulah menjadi sains; dan jika digabungkan kedua-duanya itu, katanya lagi, akan memperlihat Asmaul Husna. Ini rasanya sumbangan ESQ 2008. Kalau begitu tafsirannya, maka Iqra’ itu bukan sekadar membabitkan berfikir secara kritis, “evaluasi dan sempurnakan” , dan menjadikan al-Qur’aan sebagai pedoman tetapi Iqra’ itu lebih tepat dikatakan sebagai pembelajaran dan penyelidikan (mentelaah, mengkritik, menilai dan mentafsir,…menginovasi, membina semula ilmu dan membina teknologi). Ini bermakna prinsip ke-4 sebagai “Prinsip Pembelajaran” atau “Learning Principle” itu tidaklah tepat. Ahli sains, teknologi atau lain-lain tidaklah hanya belajar sahaja! Namun tepatlah apabila ESQ 2008 mengatakan “ isi al-Quran adalah tuntunan pembangunan alam pikiran atau Iman. Petunjuk pelaksanaannya disebut, dan langkah penyempuranaannya adalah Ihsan” (pipi 190).

Malangnya beliau agak keterlaluan apabila menegaskan amalan Iqra’ itu sudah diamalkan oleh semua sarjana besar barat sejak Zaman Yunani (dengan contohnya Archimedes), Galileo, Copernicus, Einstein, dan Picasso, oleh itu katanya membawa kebenaran; sedangkan pandangan mereka ini ada yang salah dan ada yang sedang dikritik hebat dan malah sudah ada pandangan alternatifnya. Beliau juga membuat kesilapan menyamakan kaedah Nabi mendapat wahyu (yang sentiasa benar) dengan kaedah sains daripada pelaksanaan Iqra’ oleh para ilmuwan atau pemimpin (diri, kelompok, organisasi atau negara), seniman, ikhtisas dan sebagainya yang tertakluk kepada kesilapan. Sekaligus teori “penjernihan jiwa” atau ZMP, suara hati, dan God Spot beliau itu penuh persoalannya seperti yang telah diperkatakan sebelum ini. Lagi pun tidaklah benar dikatakan di dalam bab ini bahawa Nabi Muhammad SAW mendapat kebenaran (wahyu) menerusi ZMP, mengasingkan diri seperti ke Gua Hira’ sahaja, atau ketika lainnya menerusi mimpi sahaja. Kebenaran mutlak (al-Qur’aan) itu turun beransur-ansur selama hampir 23 tahun dan kebanyakannya ketika baginda menghadapi masalah di Madinaht semasa baginda menjadi jeneral dan pemimpin negara. Oleh itu banyaklah wahyunya diperoleh secara tiba-tiba sahaja, atau tegasnya, bukan dengan cara menyisih dirinya daripada masyarakat! Contohnya, Suraht al-Nas diterimanya semasa baginda sakit; al-Ikhlas ketika menjawab pertanyaan sekumpulan Yahudi yang mengadap baginda; al-Kaafirun ialah jawaban baginda ketika beginda menerima tawaran dan ajakan sekumpulan Musyrikin yang mengadap baginda. (Lihat Asbabun Nuzul seperti oleh Qamaruddin drk. 1987). Pengarang ESQ 2008 juga membuat penegasan yang kurang tepat dan mengelirukan apabila beliau mengatakan teori Galileo dan Copernicus itu ada di dalam alQur’aan (Suraht Yunus 10:5) kononnya ahli sains Barat-Kristian ini mengamalkan teorinya dan seterusnya mengamalkan Iqra’. Mana betulnya! Teori mereka ini sudah dibuktikan palsu oleh Einstein pada awal abad ke-20 dahulu. Dengan contoh ini pun, Bucailleisme itu sudah menimbulkan masalah atau persoalan tempat seseorang mahu berlindung sekarang? Di bawah al-Qur’aan atau Einstein? Sungguhpun tafsiran al-Fatihah di dalam ESQ 2008 memang tinggi daya karyanya, tetapi memadankan nilai yang ada di dalam al-Fatihah dengan nilai Bushido adalah suatu yang tidak perlu, bahkan merosak martabat al-Qur’aan. Memasukkan Amiin sebagai sebahagian daripada Suraht al-Fatihah juga mengelirukan dan boleh menyesatkan, bahkan bismilah sebagai sebahagian Suraht itu pun sudah cukup kontroversinya.

Bukti Mukjizat al-Qur’aan yang tersasar

Pada pipi 184-187, pengarang ESQ 2008 juga tersalah pilih dengan terikut-ikut merasionalkan kehebatan (mukjizat) al-Qur’aan menggunakan statistik bilangan kali kemunculan sesuatu perkataan, paradigma perkataan sepadan dan berlawanan, sinonim dan sebagainya, yang dipetik daripada karya Abdul Razaq Nawfal dan teori kod 19 oleh Rasyad Khalifa yang diisytihar sesat dan menyesatkan oleh ramai ulama. Mukjizat al-Qur’aan yang lebih bermakna dan patut dirasionalkannya ialah yang dicabar oleh Allah sendiri supaya sesiapa yang mempersoalkan al-Qur’aan itu cuba berkarya sebaik al-Qur’aan itu walaupun sekalimah ayat (Suraht 2:23, 10:38, 11:13, 17:88 dan 52:34) atau yang lain yang tiada kontroversinya.

Beberapa kelemahan Bicara Prinsip Visi daripada Rukun Iman yang Kelima

Perbincangan Prinsip ke-5, “Vision Principle” atau “Prinsip Masa Depan” (padanannya yang kurang tepat rasanya), yang diperoleh daripada Rukun Iman ke-5, percaya kepada kiamat, juga banyak kelemahannya. Pertamanya Prinsip ini sepatutnya menjadi satu daripada Prinsip Kepemimpinan (diakui olehnya sendiri di pipi 362) yang dibicarakan sebelum ini oleh itu tiadalah Prinsip ke-5 ini di sini. ESQ 2008 menyatakan 5 perkara yang muncul daripada “Prinsip Masa Depan” itu pada akhir perbincangannya, malangnya cara penulisannya tidak mengikut jujukan (urutan) perkara ini, malah beliau tertinggal membicarakan dengan jelasnya tentang “optimalisasi upaya”. Lagi pun konsep optimalisasi manakah yang dipakainya kerana setiap konsep optimum yang ada sekarang berakarkan emosi dan ruhani Barat kecuali yang baru diusahakan oleh Shaharir (2006). Beliau banyak menumpukan kepada bicara kepentingan “vision” atau “visi” dan satu daripada perkara di dalamnya, iaitu ‘berorientasi tujuan’ dengan orientasi jangka pendek, jangka menengah dan jangka panjang yang disatukan dengan dua lagi perkara di dalam prinsip ke-5 beliau ini, iaitu Kendali Sosial dan Ketenangan Batiniah. Lagi sekali walaupun bicaranya penuh dengan unsur keIslaman tetapi contoh-contoh untuk pengukuhan bicaranya semuanya tokoh-tokoh Barat sehingga Nero Gila itu pun diambilnya. Dalam membicarakan kaedah bagi menyelesaikan keraguan, beliau hanya membicarakan ‘metode historis’, iaitu tentunya kaedah statistik (walaupun ini tidak dinyatakan dengan jelasnya), tetapi yang lebih penting lagi beliau mungkin terlepas pandang bahawa kaedah statistik tidak menjamin tercapainya kebenaran seperti yang banyak diperkatakan oleh sarjana Barat sendiri pun seperti karya Flaws (2004), dan lebih menarik lagi dan laris jualannya ialah oleh Taleb (2004/2007), sedangkan yang lebih berat dengan isu falsafahnya ialah Lindsay (1999). Contoh yang diberi tentang pengajaran daripada Fir’aun memang sudah terkenal tepatnya; namun beliau sepatutnya membari contoh yang memerlukan pungutan data dan analisa yang diperkatakannya itu. Contoh tentang alam semesta daripada Suraht Yunus ayaht 5 dan perbandingannya dengan ilmu sekarang sudah diberi ulasan sebelum ini akan tidak wajarnya. Beliau perlu mencari contoh yang lebih mudah dan lebih relevan lagi dengan isu sosial dan kemasyarakatan kini yang tentunya memerlukan penyelidikan baru (tidaklah dapat dipetik hasil kajian yang sudah tersedia ada!)

Anggapan Tabii Hukum Alam dan Sosial yang Salah

Bicaranya tentang prinsip keenam, “Well Organized Principle” atau “Prinsip Keteraturan” daripada Rukun Iman keenam, Qada’ dan Qadar itu, tidak kurang kelemahannya. Kelemahan pertamanya, yang agak besar, ialah percayanya pengarang ESQ 2008 bahawa hukum alam dan sosial ini bersifat kepastian. Malah beliau membuat kesilapan besar (pernyataan yang ketinggalan zaman) dengan menganggap pastinya hukum alam itu sudah tidak dipertikaikan lagi, oleh itu beliau hanya menegaskan “saya kurang sependapat apabila ilmu sosial tidak disebut sebagai ilmu pasti”. Setiap sarjana yang tidak ketinggalan zaman, Muslim dan bukan Muslim tidak akan bersetuju dengan pandangan ESQ 2008. Contoh yang diberi, tentang pastinya sifat manusia balas-membalas (pipi 225) itu pun tidak benar kerana ajaran Islam sendiri tidak menggalakkan “jahat di balas jahat’ tetapi jahat pun perlu (tindakan terbaiknya) dibalas baik (Suraht 23 (al-Mu’minuun): Ayaht 96 dan 41 (Fushilat): Ayaht 34) dan memang ramai orang mencapai taraf ini. Beliau juga membuat kesilapan dengan mengatakan “Sunnatullah (ketetapan Allah) adalah suara-suara hati” (pipi 225) seperti yang telah diperkatakan sebelum ini. Ekoran daripada kesilapan ini, maka banyaklah perbincangan beliau selanjutnya yang tidak dapat diterima. Pendeknya, lima perkara yang diutarakan pada akhir bicara prinsip ke-6 ESQ 2008 ini (sebagai kesimpulannya) seluruhnya paling lemah di dalam perihal 6 prinsip pembinaan mental di dalam buku ini.

Bicara Kekuatan Peribadi daripada 3 Rukun Islam yang Banyak Persoalannya

Dalam bab ketiga (“Bagian Tiga”) buku ESQ 2008 dibicarakan “Personal Strength” atau terjemahannya “Ketangguhan Peribadi” yang ditetapkannya 6 prinsip (sebilangan Rukun Iman) daripada “Pembinaan Mental” itu; dan 3 pedoman (daripada 3 pertama daripada Rukun Islam) yang dibincangkan di di dalam bab ini. Pedoman pertamanya, “Mission Statement” atau “Penetapan Misi” daripada syahadaht itu. Misi ini dikatakannya mewujudkan kekuatan diri dalam 6 perkara (bilangan Rukun Iman lagi) yang dibicarakan dengan penuh penumpuan kepada pengertian syahadaht itu tetapi malangnya semua contohnya yang memperkuat hujahnya terdiri daripada tokoh-tokoh bukan Islam termasuklah Thomas Edison, John Rockefeller, Julius Caesar, Napoleon (sungguhpun ada penulis yang mengatakan Napoleon memeluk Islam, tetapi itupun setelah beliau kalah dan merengkok di penjara), Beethoven, Plato (walaupun ada penulis yang mengatakan beliau pengikut Nabi Islam sebelum ‘Isa bahkan selalu disanjung tinggi oleh sarjana Tamadun Islam yang malah memberi gelaran al-Hakim kepadanya dan dituruti oleh Sarjana Melayu abad ke-17 M dahulu seperti al-Ranyry di dalam karya agungnya Bustan al-Salatin), dan seorang ahli fizik teori yang terkenal dengan pendirian sebagai seorang ateis atau antiagama, Stephen Hawking. ESQ 2008 bahkan menggunakan kandungan kurikulum pendidikan bakal eksekutif Jepun yang mewajibkan pengucapan “saya juara!” berulang-ulang (100 kali setiap hari) untuk mengukuhkan teori Repetitive Magic Power Covey (pipi 272; yang mahu diterjemahnya) bagi mencipta kejayaan dengan melaksanakan sholaht 5 kali sehari semalam itu. Dengan pendekatan sebegini, pembaca boleh bertanya apa istimewanya teori Islam beliau jika orang-orang bukan Islam itu boleh “berjaya” ; atau apa istimewanya menerusi kaedah sholaht sholaht kalau Jepun boleh “berjaya” tanpa sholaht? Isunya tentulah makna “berjaya”, dan mendedahkan kelemahan tokoh-tokoh Barat atau bukan Islam yang dianggap “berjaya” atau “berkekuatan peribadi” itu berbanding dengan tokoh-tokoh yang berjaya atau berkekuatan peribadi mengikut ukuran baru yang berlandaskan Islam. Pokoknya banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh pengarang ESQ 2008 atau penyokong-penyokongnya! Seperti yang disebut sebelum ini kelemahannya berpunca daripada tiadanya perbincangan konsep “berjaya” mengikut Islam yang tentunya berbeza daripada “berjaya” yang lumrah dipakai sekarang dan malangnya masih diikuti oleh ESQ 2008.

Perkara kedua yang memberi kekutan peribadi mengikut ESQ 2008 ialah “Character Building” atau “Pembangunan Karakter” yang diasaskan daripada sholaht; dan dicirikan kepada 6 perkara lagi (bilangan Rukun Iman lagi). Seperti yang lepas-lepas, dalam hal ini, kelemahan ESQ 2008 ialah selalunya menggunakan tokoh-tokoh Barat bukan Islam “yang berjaya” bagi mengukuhkan teorinya; atau mengambil amalan bukan Islam tanpa penilaian kritis terhadap “kejayaan” (bukan bukan mengikut perspektif Islam itu) berbanding dengan kejayaan mengikut perspektif Islam. Misalnya, Contohnya Mc Craken (pipi 282) mengamalkan intuisi dan santaian dengan relaksasi menjadikannya seorang pengurus yang “berjaya” tentunya mencabar sebarang kaedah Islam, termasuk yang cuba digariskan di dalam ESQ 2008 itu. Begitu juga dengan Cooper & Sawaf dengan kaedah peningkatan “kecerdasan emosi” (pipi 286), Killey yang “berjaya” mengamalkan amalan kaedah pengembangan eksekutif Anderson Consulting (pipi 287), Einstein dengan cara nya tersendiri “menghimpun energi emosi” (pipi 290). ESQ 2008 mengkritik kaedah ulangan yang disyorkan oleh Stephen Covey (pipi 285) semata-mata kerana tiada contohnya dan lalu seterusnya menegaskan sholaht-lah contohnya. Namun bagaimana dengan teori Jepun yang disebutnya sebelum ini dengan positifnya? Bukankah contoh Jepun itu mencabar contoh ESQ 2008 ini? Nampaknya di sini pun ESQ 2008 masih tidak terlepas daripada Bucailleisme yang tidak berfaedah segi pembangunan ilmu Islam atau boleh membahayakan aqidaht itu. Di dalam bab ini juga ESQ 2008 mengulangi hujah-hujah menegakkan 6 Prinsip “Pembinaan Mental” tetapi kali ini menerusi pelaksanaan Rukun Islam pertama, Sholaht. Ini sudah agak bercelaru, bukan sekadar kerana kadang-kadang dikembangkan kepada bukan sholaht wajib lagi seperti sholaht berjemaah dan sholaht dua hari raya, tetapi kerana 6 prinsip itu mulanya dikatakan diperoleh atau diasaskan pada Rukun Iman sahaja. Lagi pun tiada sebab hujah 6 Prinsip itu dibincang lagi kerana sudah satu bab ditumpukan padanya terlebih dahulu. Lebih bercelaru lagi di dalam bab Kekuatan Peribadi atau “Ketangguhan Peribadi” ini ada pula dibicarakan “Social Strength” (pipi 302) sedangkan satu bab yang khas, bab selanjutnya telah pun disediakan untuk membicarakan perkara ini. Tambahan tidak kenanya ialah memperluaskan hujahnya kepada Rukun Islam ke-5, Naik Haji!

Bicara Peranan Sholaht dalam Kendalian Diri yang Tak Kesampaian

Di dalam membicarakan implikasi khusus daripada “Pengendalian Diri” atau “Self Control”, iaitu “meningkatkan kecakapan emosi secara fisiologis” (pipi 314-316) ESQ 2008 memetik kajian Goleman tentang kanak-kanak memakan marshmallow yang disediakan yang ditafsirkannya sebagi bukti tajrabi/eksperimen/ujikaji pentingnya berpuasa. Jika pun benar tafsiran ini, ESQ 2008 masih belum membuktikan puasa itu menjadikan seseorang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Qur’aan, Suraht al-Baqarah 2:182, yang dipaparkan di dalam ESQ 2008 sendiri pada akhir judul perkara yang dibicarakannya itu (pipi 316). Hujah ber-taqwa itu ialah tahap tertinggi mengawal emosi sahaja pun masih belum dibuat; tambahan pula ber-taqwa bermakna lebih daripada itu.

Sungguhpun perkara ketiga di dalam Personal Strength ialah Self Control yang diutarakan menerusi amalan berpuasa itu tidak perlu dibicarakan di sini kerana perkara ini sudah dibicarakan pada ketika bab Mental Building dahulu lagi, namun pada akhir bicara judul ini ada diberi kritikan lagi terhadap Management by Objective oleh Peter Drucker yang walau pun pendek cukup bernas (pipi 324), sama dengan bernasnya kritikan pertamanya di pipi 55 dan 180. Namun begitu teori pengurusan di dalam ESQ 2008 beliau sendiri pun masih berbau teori Peter Drucker yang dikritiknya itu kerana masih memetingkan visi, misi, wawasan, matalamat/objektif dan kawalan, bahkan pentaksiran selanjar (continuous improvement di dalam ESQ 2008, pipi 194, 255 dan 257) yang diidolakannya menerusi budaya kaizen Jepun (pipi 178,190,194, 195,199) dan prinsip PuMuS (Pengurusan Mutu Seluruh)/TQM (Total Quality Management), walaupun yang terakhir ini tidak pernah dirujuknya. Keadaan sebegini menjadikan ESQ 2008 kurang keperibadiannya; bahkan menjadi teori Drucker dan Covey (yang cukup banyak/kerap menjadi rujukannya dengan positifnya, cth pipi 19,180,209,284,285,338,372,424 ), selain daripada berupa bungkusan teori Goleman dan Zohar-Marshall yang disulami dengan prinsip atau nilai Islam atau katanya (pipi 190, 289) akhlaqul karimah!

Bicara Kekuatan Sosial menerusi Amalan Haji yang Tidak Memuaskan

Bab ke-4 membicarakan “Social Strength” atau “Ketangguhan Sosial” berasaskan pada dua lagi Rukun Islam itu. Bab ini dijelaskannya sendiri bertujuan mengukuhkan teori Covey (tentang keseimbangan Production dengan Production Capability), dan Cooper (tentang suara hati atau intuisi) menerusi pelaksanaan Rukun Islam keempat dan kelima, Zakat dan Haji. Ini kerja Bucailleis lagi dan kali ini dilakukan dengan jalan yang berliku menerusi “Strategic Collaboration Sinergi” dan “Total Action” atau “Aplikasi Total” sebagai komponen “Social Strength” setiap individu unggul yang setiap satunya ada 6 dan 5 perkaranya (masing-masingnya sengaja diwujudkan mengikut bilangan Rukun Iman dan bilangan Rukun Islam itu). Dalam membicarakan “Strategic Collaboration Sinergi” yang terbit daripada penunaian Zakat itu, 5 perkara yang yang terbit daripadanya lagi tidak dibicara dengan memuaskan tetapi lebih kepada hanya penegasan tanpa hujah yang cukup. Yang panjang lebarnya ialah hujah peranan Zakat dalam menegakkan 6 Prinsip Pembinaan Mental yang dahulunya dibicarakan berasaskan Rukun Iman sahaja. Di samping perbincangannya sering diperkukuhkan dengan contoh pandangan tokoh bukan Islam yang kesannya cukup negatif itu, perbincangan ini agak tidak relevan lagi. Dalam membicarakan “Total Action” atau padanannya “Aplikasi Total” (yang kurang tepat rasanya) yang terbit daripada menunaikan fardhu Haji itu, ESQ 2008 menonjolkan 6 perkara yang memberi “Social Strength’ kepada seseorang yang melakukan fardhu Haji itu. Setiap 6 perkara itu terbit dari 4 Rukun Haji (Niat dan Ihram, Wuquf, Tdawaf dan Sa’i) , 1 Wajib Haji (Melontar Jumrah) dan satu yang perlu terjadi, Jama’ah Haji. Peninggalan beberapa Rukun Haji yang lain lagi (bercukur dan tertib) dan Wajib Haji yang lain (Niat di Miqat, bermalam di Mudzdalifaht, bermalam di Mina, meninggalkan segala larangan di dalam ihram) di dalam teorinya adalah yang pelik dan boleh menjadi isu dalam maksudnya Rukun Islam kelimanya itu. Perbincangan “Niat dan Ihram menyediakan ZMP” tidaklah perlu dan sesuai kerana, selain daripada adanya unsur khurafat di dalamnya yang dibicarakan sebelum ini, proses ini sudahpun dibicarakan berlandaskan Rukun Iman dahulu. Perbincangan 5 perkara yang lain itu banyak kali terkeluar daripada mauduknya, iaitu tiada kaitannya dengan Haji seperti membicarakan mauduk itu berlandaskan Asmaul Husna.

Isu Bahasa

ESQ 2008 penuh dengan istilah atau ungkapan di dalam bahasa Inggeris yang sengaja dilakukan oleh pengarangnya demi status bahasa Inggeris kini dan mengalahnya pengarang ESQ 2008 kepada sejagatisme/globalisme (kata-katanya yang tepat sudah dipetik sebelum ini). Sikap beliau ini amatlah tidak kena kerana langkah beliau itu bukan sahaja menjejaskan keperibadian teori beliau itu, tetapi tidak kurang pentingnya tidak membantu sedikitpun untuk mengangkat martabat bahasanya sendiri, bahasa Melayu (Malaysia atau Indonesia atau di Pascabima/Nusantara/(Alam Melayu/Indonesia)) ke arah menjadikannya satu daripada bahasa ilmu; bahkan merosakkan lagi bahasa tersebut. Dengan sikapnya itu setengah istilah menjadi bahasa kreol atau bahasa rojak seperti “Strategic Collaboration Sinergi” (sinergi dengan i bukan y muncul secara tekal/konsistennya), “value kasih sayang”, “memberi meaning”, “sistem punishment”, “interval waktu”, memiliki skill dan network, dan “Maha Training”. Setengahnya menjadi tidak munasabah/rasional lagi sehingga mempopularkan perkataan atau ungkapan biasa di dalam bahasa Inggeris seperti a way of life, camper, climber, corporate culture, life cycle, inner beauty, general manager, lifelong learning, meaning, network, on the right track, out of the box, personal strength, photography, quitter, safety box, self control, skill, social strength, spiritual wisdom, value, triple one, use all resources,… memang banyak sekali! Judul buku itu sendiri menyedihkan, bukan setakat ESQ bahkan “The ESQ Way 165” itu benar-benar merendahkan martabat bahasa sendiri. Kerja pemasaran buku ini juga mengecewakan dengan menulis seuntai ungkapan Inggeris yang begitu cerlang merah di kulit buku berkenaan dengan ungkapan “Only For Training” dan “Best Seller”. Apa rendah tarafnya dengan ungkapan yang setaranya di dalam bahasa sendiri seperti “Hanya untuk Pelatihan ESQ” (masih sayang ESQ!) dan “Laris Jualan”. Banyaklah lagi contoh di dalam teks ESQ 2008 yang bertaraf seperti ini. Ada beberapa ketika pengarang ESQ 2008 langsung tidak mahu menterjemah sekali sahaja pun (biasanya yang lain ada juga sekali diterjemahkannya semasa pertama kali perkataan atau ungkapan itu muncul) sesepatah perkataan atau seseuntai ungkapan Inggeris seperti morning briefing, MOU, take over, petikan Frankl di pipi 10, kata-kata Mitroff dan Denton di pipi 11, Spiritual Engineering, petikan kata-kata hikmat di pipi 15 (semua ini di bagian Prolog sahaja; banyak lagi di Bagian-Bagian selanjutnya. Anehnya gaya ini tidak diamalkan untuk petikan di dalam bahasa Arab umpamanya. Memang banyak istilah terjemahan yang dirasakan kurang tepat tetapi yang paling mencolok ialah terjemahan istilah terpenting di dalam buku ini, iaitu IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) yang masing-masingnya diterjemahkan (tetapi tidaklah pula mahu dipopularkannya) sebagai Kecerdasan Intelektual (ada sekali disebut kecerdasan otak), Kecerdasan Emosi dan Kecerdasan Spiritual. Pertamanya, Quotient di sini ialah istilah matematik yang bermakna nisbah atau pembahagian/pembagian antara dua angka, bukannya kecerdasan! Mengikut perakuan istilah MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia), istilah Quotient ialah Hasil Bahagi, Hasil Bagi atau Nisbah. Istilah “intelligence” memang berasal daripada intellect yang bermakna aqal, pintar, cerdas, intelek; tetapi istilah intelligence tidaklah sesuai dengan “intelektual” atau “otak” bahkan MABBIM memperakukan kepintaran atau kecerdasan. Kamus etimologi bahasa Inggeris pun menyatakan intelligence berasal daripada Latin: intelligentia, intelligentum dan intellegens yang juga menjadi kata asal perkataan Inggeris, intelligentsia (yang bermaksud sekumpulan intelektual/cendekiawan). Jadi istilah IQ yang lebih betulnya ialah Nisbah Kepintaran atau Nisbah Kecerdasan (ringkasnya NKp atau NKc), EQ patut digantikan dengan NE (Nisbah emosi) dan SQ dengan NR (Nisbah Ruhani) atau NS (Nisbah Spiritual). Di dalam ESQ 2008 istilah “kecerdasan” seolah-olah dipadankan dengan Quotient dan ini cukup mengelirukan. Setiap cendekiawan atau intelektual harapan bangsa, memang diharapkan merujuk istilah kesepakatan bersama, MABBIM, untuk dipakai kerana istilah ini kini dengan mudahnya dapat diperoleh di internet (laman Departmen Bahasa di Indonesia dan DBP di Malaysia dan Brunei). Namun mengenangkan pengarang ESQ 2008 sendiri beberapa kali menegaskan EQ atau EQ + Ihsan ialah Akhlaqul Karim maka sepatutnya beliau berani mengusulkan sebuah istilah baru sama sekali bagi ESQ beliau itu seperti NAKR (Nisbah Akhlakul Karimah dan Ruhani) yang sepatutnyalah jelas berbeza dengan ESQ sebagai gabungan ES dan EQ itu kerana Akhlakul Karimah memang berbeza rincinya dengan emosi dan begitu juga ruhani berbeza dengan spiritual. Jelas pengarang ESQ 2008 tidak menyedari bahasa juga berperanan mewarnai makna ilmu yang sedia ada apabila diterjemah kepada sesuatu bahasa lain, dan bahasa juga mampu memberi konsep baru kepada sesuatu perkara yang dahulunya di dalam bahasa lain seperti yang dibicarakan oleh Shaharir (2009b).

Beberapa Persolaan Terpencil

Model hubungan manusia-manusia dan manusia-Tuhan berbentuk segi tiga itu (pipi 10), sungguhpun sudah lumrah sedemikian gayanya, tetapi ini terlampau mempermudah-mudahkan keadaan. Jika hubungan yang wujud ialah manusia-manusia secara mendatar dan manusia-tuhan mencancang atau vertikal maka hubungan manusia-manusia-tuhan lebih tepat lagi berupa segi-empat tepat atau bujur sangkar, atau bulatan sahaja (setiap satunya tanpa batasnya, atau tidak termasuk sempadannya). Hubungan berbentuk segi tiga itu tidak menunjukkan “Tuhan berada di mana-mana” dan hubungan manusia-Allah cukup berbeza tahapnya mengikut darjah ke-taqwa-an seseorang (tidak terhad kepada rantau segi tiga sahaja)

Model ESQ (yang banyak kali dilukis di dalam buku itu; dan diterangkan, contohnya, di pipi 256, dan 383) yang merujuk kepada “gerakan atom (Bohr)” agak ketinggalan zaman kerana model atom mengikut Bohr itu sudah tidak terpakai lagi. Model atom sejak 1926 ialah bersifat ketakpastian yang tiadalah orbit seperti itu tertakrif. Lebih baik model itu digantikan dengan penjelasan mengikut model planet sahaja (rajahnya tidak berubah), walaupun model planet klasik (model Newton) itu pun sudah diabaikan sejak teori Einstein menunjukkan orbit planet tidak lagi berbentuk elips tertutup itu. Memang yang lebih baik lagi ialah model Einstein itu. Model atom mutakhir mungkin terlampau sukar untuk dieksploitasikan bagi tujuan membina model ESQ itu, walaupun itu pun boleh menjadi cabaran kepada sesiapa pun.

Beberapa unsur Bucailleisme lagi di dalam ESQ 2008, selain daripada yang telah disebut di atas, ialah perkara berikut:

1. Kandungan sebuah karya Dale Carnagie dipadankan dengan ar Rahman dan Ar Rahim kepada sesama manusia (pipi 80)

2. Jeneral Charles de Gaulle, yang kemudian menjadi Presiden Perancis, dijadikan contoh “loyalitas” dan “integritas” yang unggul (dan memenuhi “Prinsip Malaikat”) di dalam ESQ 2008 (pipi 128-129).

3. Thomas Hobbes, seorang sarjana Eropah (Inggeris) yang bukan Islam dalam abad ke-17 M, dipetik pandangannya tentang kepemimpinan “tanpa hati nurani” sebagai gaya kepemimpinan yang melanggar garis demarkasi Allah (pipi 143)

4. Thomas Edison, terkenal dengan penemuan elektrik, dijadikan contoh penemu dan pemikir yang boleh diteladani sesuai dengan “Principle of Learning” di dalam ESQ 2008 yang dianggap penuh keIslaman oleh pengarangnya. (pipi 177) itu. Begitu juga halnya, dengan pemimpin syarikat-syarikat Jepun yang dijadikan contoh yang serasi dengan keperluan di dalam “Principle of Learning” itu (pipi 178-179).

5. Charles Schwabb dan Bill Gates dijadikan contoh manusia yang memenuhi “Vision Principle” di dalam ESQ 2008 yang dianggap penuh keIslaman itu (pipi 203)

6. Setiap karyawan (yang bagus-bagus itu) adalah berprinsipkan iman dalam suatu perusahaan (yang sesuai dengan “Well Organised Principle” di dalam ESQ 2008 yang berprinsip Islam itu) termasuklah para karyawan di Taiwan dan Hongkong yang menerap ajaran Konfusius itu (pipi 231)

Gaya Rujukan yang Mengelirukan

Pengarang ESQ 2008 juga bukan sahaja menggunakan gaya pernyataan sumber ilmu yang dirujuknya dengan menggunakan gaya lama, iaitu ibid., op. cit. dan sebagainya yang mengelirukan, tetapi juga banyak sumber bacaannya yang tertinggal disenaraikan di dalam senarai “Daftar Catatan Kaki” termasuklah yang penting-penting sekali pun. Contohnya di dalam Prolog ada di sebut Persinger, Ramachandran dan Singer tetapi tiada rujukannya di dalam “Daftar Catatan Kaki” bab ini di dalam “Daftar Pustaka” pada akhir buku ini; begitu juga Peter Drucker yang dirujuk beberapa kali di dalam teks. Sepatutnya setiap rujukan kepada pandangan seseorang tokoh di dalam teks semestinyalah disediakan sumber rujukan. Ini tidak berlaku seperti sebagai contohnya kami ambil Bagian Tiga ESQ 2008 ini, nama-nama berikut tiada rujukannya: Maxwell (pipi 349, 362, 365), Emerson dan Laird (pipi 352), Wall Street journal (pipi 356), Rockefeller (pipi 357), Walt Disney (363), Covey (pipi 384), Edison (386), dan Maslow (pipi 388); begitu banyak sekali!

Ulasan Khusus Kepada Warta Kerajaan terhadap Ajaran ESQ

Warta kerajaan bertarikh 17 hb Jun 2010 yang mengikut akhbar mengistilahkannya sebagai “Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan” menyatakan 10 perkara di dalam “ajaran, pegangan dan fahaman yang di bawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian” yang “menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam”. Jumlah ini tidak sama dengan yang dilaporkan di dalam akhbar Sinarharian 21 Julai itu (kurang satu) dan ini pun masalah akhbar kita sepanjang masa! Enam perkara daripadanya memang ada dan dibicarakan di dalam sorotan buku ESQ 2000 di atas, iaitu tentang liberalisme mentafsir al-Qur’aan dan al-Sunnah, kesamaan pencapaian kebenaran oleh para Nabi dengan orang biasa, pencampur-adukan ajaran ruhani Islam dengan bukan Islam, suara hati dan ZMP, dan kod 19 sebagai mukjizat al-Qur’aan. Kesimpulan kami terhadap perkara-perkara ini agak sama, walaupun kami banyak berhujah secara rasional lagi, dengan yang diungkapkan di dalam Warta Kerajaan itu. Namun ada 4 perkara yang disebut di dalam Warta itu yang tidak setepat seperti yang tertulis di dalam buku ESQ 2008 (oleh itu perakuan Warta Kerajaan itu tidaklah begitu tepat; tetapi mungkin juga tepat berdasarkan edaran syarahan atau catatan kuliah ditempat pelatihan ESQ itu). Perkara tentang logik itu sebagai sumber rujukan utama, pengingkaran mukjizat, penyamaan bacaan al-fatihah dengan amalan Bushido dan kaitan kalimah syahadah dengan nombor “triple one”. Kami tidak menemui sebarang ungkapan di dalam ESQ 2008 yang boleh ditafsirkan bahawa pengarangnya menegaskan “logik” sebagai sumber rujukan utama (bagi ilmu, pengetahuan atau kebenaran), malah banyak perakuan di dalam ESQ 2008 itu yang tidak “logik”, tetapi itulah sifatnya ilmu berkenaan emosi dan rohani. Kami juga tidak menemui kata-kata yang boleh ditafsirkan pengarang ESQ 2008 itu mengingkari mukjizat cuma dia memperakukan cara Nabi mendapat kebenaran untuk dituruti oleh sesiapa jua pun. Kami juga tidak menemui ungkapan yang memberi makna “menyamakan bacaan al-Fatihah … dengan amalan Bushido”, tetapi yang ada ialah memadan nilai yang ada di dalam al-Fatihah dengan Bushido; tetapi kesimpulannya tetap sama, iaitu pengaitan Bushido dengan apa-apa tentang Islam adalah suatu yang tidak boleh diterima. Tentang pengaitan Syuhadah dengan nombor “triple one” itu memang ada tetapi itu cuma satu kelakar penulisannya yang tidak sepatutnyanya sahaja. Dia tidak serius! Ini boleh dikatakan “dosa yang tidak disengajakan” kerana cita rasa buruknya terhadap bahan jenaka.

Kesimpulan

ESQ 2008 boleh dipuji dalam konteks melihat ilmu IQ, EQ dan SQ daripada perpektif Islam bahkan melakukan percubaan menginovasikannya supaya lebih sesuai dengan jiwa-jiwa muslim. Percubaannya mewujudkan gabungan teori kepintaran berasaskan emosi dan ruhani Islam berasaskan Rukun Iman dan Rukun Islam serta Ihsan memang suatu kerja yang berdaya karya/cipta yang tinggi. Namun beberapa konsep yang cuba diketengahkan bukanlah asli Islam malah kadang kala atau “silap-silap” boleh bertentangan dengan Islam, khsusnya konsep pengosongan minda, atau Zero Mind Process (ZMP) dan pengagungan intuisi atau suara hati setaraf dengan wahyu. Selain daripada itu banyaklah pula idea daripada sarjana Barat (bukan Islam) atau amalan tokoh-tokoh Barat (bukan Islam) yang dijadikan contoh teladan atau bukti kebenaran prinsip-prinsip Islam yang diterapkan di dalam teori ESQ 2008 itu yang boleh menimbulkan cabaran baru kepada keperluan prinsip-prinsip Islam itu dan oleh itu ESQ 2008 itu. Banyaknya gaya Bucailleis yang terdapat di dalam buku ini adalah berpunca daripada layanannya kepada konsep emosi dan “spiritual” barat dan “kejayaan di sisi Barat” dianggap sama dengan emosi dan ruhani serta “kejayaan” di sisi Islam. Ini nampaknya benar-benar tidak disedari oleh pengarang ESQ 2008 kerana perkara ini sedikit pun tidak dibincangkan di dalam karyanya ini. Kesengajaannya tidak mahu mempopularkan istilah Melayu (Malaysia atau Indonesia) juga menghilangkan peluang memperkayakan khazanah ilmu peribumi dan sekaligus peluang mencipta identiti ilmu kerana bahasa juga berperanan mewarnai wajah baru ilmu. Enam daripada sepuluh “Fatwa Mufti Wilayah” terhadap ESQ 2008 memang ada rasionalnya; makalah empat lagi agak kurang dapat dirasionalkan. Namun buku ini lebih baik daripada buku-buku ilmu lain uang tiada unsur pengIslamannya sehingga ilmu itu sarat penuh dengan nilai (emosi dan ruhani) yang bertentangan dengan Islam yang terdapat di dalam negara selama ini, termasuklah buku kepemimpinan dan kepengurusan Stephen Covey yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan memang menjadi rujukan asas pengarang ESQ 2008 juga. Oleh itu buku ini masih patut dibaca oleh mereka yang berminat kepada perkembangan ilmu ini terutamanya oleh mereka yang mahu meperbaiki lagi pendekatan Islam terhadap ilmu sukatan kepintaran dan kejayaan. Buku ini tidak juga seharusnya “diharamkan” kerana selain daripada sebab di atas (berbanding dengan buku-buku lain itu) langkah tersebut pada zaman teknologi maklumat TM ini adalah langkah yang sia-sia atau lebih menyemarakkan lagi penyebarannya atau pemasarannya.

Rujukan

Ahmad al-Fatdany/al-Fathani, (abad ke-19)/2006Mutiara Ilmu Aqidah. Terj. Kpd buku asalnya Faridaht al-Fara’yd fi ‘Ilm al-‘Aqa‘yd. Kota Bharu: Jabal Maraqy Enterprise

Al-Attas S.M.N. 1996. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, 2nd ed. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).

———————–. 2010. Dewesternisasi Ilmu. Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 1(2): 3-20

Alhabshi S.O. 1994. Islamic values: its universal nature and applicability” dalam Aidit Haji Ghazali & Syed Othman Alhabshi (Pyt), Islamic Values and Management, K.Lumpur: IKIM

Arip M. K. 2007. Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran (PASAK). Seremban: Awan Biru, Pusat Perniagaan Senawang

Balasubramaniam. 1992. Explaining strange parallels: The case of quantum mechanics and Madhyamika Budhism. Internat. Philos. Quarterly XXXII 2(126): 203-210

Bhaktivedanta Swami A.C.P. 1983/2008. Bhagavad-Gita As It Is. Los Angeles: The Bhaktividenta Book Trust. Terbitan pertama 1983. Percetakan 2008

Bucaille M. 1978. Bibel, Qur-an dan Sains Modern. Jakarta: Penerbit Bulan

Campbell S.K. 2004. Flaws and Fallacies in Statistical Thinking. Dover Publication

Capra F. 1978/2004. The Tao of Physics: an Exploration of the Parallels Between Modern Physics and Eastern Mysticism. 4th ed. Shambhala. Snt. 1 ialah 1978.

Covey S.R. 1989/1996. 7 Tabiat Orang yang Amat Berkesan. Petaling Jaya: Prentice Hall; atau 7 Kebiasaan Manuswia yang Sangat Efektif. Jakarta: Binarupa Aksara 1997. Kedua-duanya Terj. karya asalnya, The Seven habits of Highly Effective People. N.York: Fireside Simon & Schuster Inc. 1989.

Danial Zainal Abidin. 2007/2009. Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains. Cetakan pertama 2007, cetakan kelapan 2009. Batu Caves: PTS Millennia Sdn Bhd

De Bono E. 1985. Six Thinking Hats: An Essential Approach to Business Management. Little Brown & Co.

Drucker P. 1954/1993. The Practice of Management. Collins 1993. Cetakan pertama 1954.

Fatwa Mufti Wilayah. Lihat Warta Kerajaan 2010.

Feyerabend. P.K. 1975/2010. Against Method: Outline an Anarchistic Theory, 4th ed. London: Verso. Terbitan pertamanya 1975

Gladwell M. 2005/2007. Blink. The Power of Thinking without Thinking. Sunt. pertama 2005, sunt. kedua 2007. N.York: Back bay Books

Goleman D. 1999. Working with Emotional Intelligence. N.York: Bantam Book

Internet. Tabula rasa. Wikipedia. http://en.wikipedia.org/wiki/Tabula_rasa

Kuhn T. 1970/1997. Struktur dalam Revolusi Sains. K.Lumpur: DBP. Terj. Buku asalnya “The Structure of Scientific Revolution” snt. ke-2-nya 1970. Ada snt ke-3 terbitan Chicago Univ. Press 1996 tetapi yang berbezanya hanya adanya indeks sahaja. Sunt. Pertamanya 1962.

KuPELEMA. 2008. Unsur-Unsur Sains Matematik dalam Prasasti dan Manuskrip Rumpun Melayu Dalam bahasa Melayu sejak Abad Kedua hingga Kesembilan Belas Masehi I. Seminar Etrnomatematik Asia Tenggara 1, Anjuran INSPEM, UPM

Lakatos I. 1984/2002. Pemalsuan dan Tata Kaedah Atur Cara Penyelidikan Sains. Bangi: UKM. Terj. karya asalnya 1984, Falsification and the Methodology of Scientific Research Programmes, dlm. A. Musgrave & I. Lakatos (Pnyut.), Criticism and the Growth of Knowledge. 4th ed. Cambridge: Cambridge U. Press. 91-196.

Lindsay J.K. 1999. Some statistical heresies. The Statistician 48 part 1: 1-40

Maslow A. 1943. A theory of human motivation. Psychological Review 50(4): 370-396

Polkinghorne J. 2007. Quantum Physice and Theology. An Expected Kingship. New Haven and London: Yale University Press

Popper C. 1968/2008. The Logic of Scientific Discovery. Sunt ke-2, 1968, cet ke-15, 2008. N.York: Routledge. Terjemahan ke bahasa Melayu Indonesia terbitan Pustaka Pelajar, Yogyakarta 2008

Qamaruddin S.KH, Dahlan Haa & Dahlan MD. 1987. Asbabun Nuzul.Latar Belakang Historis Turunnya Ayat-Ayat Al-Quran. Klang: Klang Book Centre

Raganathananda S. 1991. Human Being in Depth: A Scientific Approach to Religion. Albany: State Univ. of New York

Schindler D.L. (Pnyut). 1986. Beyond Mechanism: the Universe of Recent Physics and Catholic Thought. London: Univ. Press of America

Shaharir b.M.Z. 1990. Modes of operations in the quest of Islamic science. MAAS Journal of Islamic Science. 16 (2): 53-70.

Shaharir b.M.Z. 2006. Pendekatan baru terhadap konsep optimum Barat dan beberapa konsep optimum baru dalam acuan sendiri. Kesturi 16 (1&2): 55-96

Shaharir b.M.Z. 2008a. Some weaknesses of the Relativity Theory on the basis of cosmological doctrines. Dlm. Senin H.B., Carini G., Abdullah J. & Bradley D.A. (Pnyut.). Current Issues of Physics in Malaysia. AIP Conference Proceedings. American Institute of Physics: pp. 75-83

Shaharir b.M.Z. 2008b. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Terengganu: UMT

Shaharir b.M.Z. 2009a. Sains Islam bukan hasil Bucaillisme. Siasah 24-30 Mei 2009, dan Siasah 1-7 Jun 2009

Shaharir b.M.Z. 2009b. Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik di Seminar Ulang Tahun INSPEM, UPM, 12 Mei 2009. MathsDigest 2009, 3(1): 1-16

Taleb N.N. 2004/2007. Fooled by Randomness. The Hidden Role of Chance in Life and the Markets. Sunt. Pertama, 2004. Sunt kedua 2007. London: Penguin Books

Zohar D. & Marshall I. 2001. Spiritual intelligence. The Ultimate Intelligence. London: Bloomsbury.

Zukav G. 1979/1984. The Dancing Wu Li Masters : An Overview of the New Physics.

Reissue edition 1984. Bantam. Terbitan pertamanya 1979.

Warta Kerajaan 2010. Warta Kerajaan Seri Paduka Baginda Jil 54 No. 12, 17 hb Jun 2010 Tambahan No. 46 Perundangan (B). Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training dan Fahaman Yang Seumpama dengannya. Dapat diperoleh di lama Mufti Wilayah Persekutuan.

%%%%%%%%%%%%20 Ramadhan 1431=30 Ogos 2010%%%%%%%%%%%

 

….nanti aku tulis ye… utk memenuhi kouta bulanan…1 bulan 1 entri…hihihi

 

Semalam aku lepak dengan geng AJK Apartment Pers*nd* (belakang T*sco Extr*; dekat dgn Bangunan L*s Cop*que)

Topik utama: karenah student MSU yang menyewa di apartmen tersebut… hanya 20% owner yg duduk situ.

Lain-lain unit disewa oleh student, pekerja bangla…dll

Baru-baru ni depa kantoi pasangan student BEROMEN dalam apartmen.

Budak lelaki ni student MSU. Budak perempuan pelajar dari kolej ntah hapa-hapa di Taiping

Ketika kejadian peromenan disyaki berlaku…mereka menyerbu unit apartmen tu…

Macam biasa lama la ketuk pintu baru seorang  remaja lelaki bukak pintu dengan muka PURA-PURA HAIRAN..

Committee serbu masuk bersama staf JAIS.  Merata dalam apartmen mereka cari tapi tak jumpa…dalam bilik air pun takde..

Tak logik ada orang nak terjun tingkap sebab kejadian di tingkat 7.

Kemudian mata seorang ahli committee tertumpu pada ALMARI KAIN BERZIP KEMAS..dibukanya tapi tak nampak apa-apa..

MEREKA SEMUA AMAT HAIRAN SEBAB TAK JUMPA…kat mana lagi possible nak nyorok…siling pun takde…sebab siling konkrit.

ALLAH NAK TUNJUKKAN…tiba-tiba mamat yang sama pergi lagi pada almari kain tu…kali ni dibukanya zip sampai ke bawah…maka ternampaklah belakang seorang perempuan

yang sedang mencangkung dalam almari….tak nampak apa-apa..Cuma nampak TALI COLI  je pada badan…huhuhuuhu..

DIPENDEKKAN CERITA

Malam tu jugak mak bapak kedua-dua remaja dipanggil.

Yang perempuan rupanya takde mak bapak, tinggal dengan kakak..

Puas bertekak dengan committee kata adik dia TERANIAYA dan ada SALAH FAHAM berlaku sebab kakak kenal akan boyfriend adiknya. Dia cas adik dia datang jumpa

Balak dan kemudian tumpang tidur kat rumah kawan perempuan.

DIPENDEKKAN CERITA LAGI

Tukang tangkap cakap:

“cerita sebenarnya yang berlaku ialah hari ini ialah harijadi budak lelaki ni…ye…besday balak adik awak…

Dan adik awak turun dari taiping untuk meraikan besday balak dia…apa yang dia bagi??? SERAH KEHORMATAN DIA…

Masa kami serbu…BERTABURAN BUNGA ROS ATAS KATIL…WANGI SATU BILIK …bermakna mereka memang plan untuk bersenggama secara romantis malam ni…

Dan tak logik adik awak sekadar datang nak jumpa…sebab masa kami tangkap, DIA NYOROK DALAM ALMARI PAKAI COLI JE…”

ish ish ish…penutup cerita, JAIS angkut….tapi lepas tu LEPASKAN balik….budak berdua tu kena hadir sesi KAUNSELING supaya jangan berzina lagi…BOLEH GITU??????

Kpl Jemain Subi

Semasa mendapat berita tentang budak sekolah berumur 15 tahun ditembak mati polis di Shah Alam, aku berasa amat marah dan membuat generalisasi yg biasa dibuat orang ramai terhadap polis. Aku juga menuduh polis yang menembak itu adalah jenis polis “trigger happy”.

Selang beberapa hari baru aku tahu Kpl Jemain orangnya. Terkedu aku sebab Kpl pernah menolong aku dalam satu kes orang hilang sebelum ini dan telah bersusah payah dari satu balai ke balai yang lain membantu mencari kalau-kalau orang hilang tersebut ada tersumbat dalam mana-mana lokap.

Kpl yang aku kenal bukan “trigger happy”. Apa yang berlaku adalah tragedi bagi kedua-dua keluarga Kpl dan Aminulrashid. Banyak iktibar yang boleh diambil.

Sementara itu keadilan perlu dilaksanakan seadil-adilnya berdasarkan merit kes ini tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan politik.

Dan buat masa ini juga kedua-dua keluarga perlu dibantu kerana mereka yang merasa tempiasnya…

FIRST CONTACT…wah wah wah..macam tajuk filem Star Trek la pulak. Bagi tiap-tiap sesuatu pertemuan ada titik awalnya. Tapi sebelum tu let me explain…untuk memudahkan pemahaman, lepas ni kalau aku sebut beberapa terminologi hantu-hantu melayu, maka ianya merujuk kepada makhluk jin (melainkan aku menyatakan sebaliknya).

Best sangat ke first contact dengan jin ni? Hahahaha…adakah aku terkencing masa tu? Ceh, kalau terkencing takkan den nak ngaku kat sini pulak kan..hihihi

Ok, full storynya macam ni. al-kisah di kampung aku di Gombak ada seorang kaya. Sangat kaya sampaikan rumah dia ada private tennis court. Kira kaya la tu, rumah aku takat table tennis buatan sendiri pakai papan lapis ade la masa tu…

Nak dijadikan cerita, anak lelaki remaja orang kaya ni mati lemas di pengkalan chepa, kelantan. Kejadian berlaku semasa anaknya bercuti semester (UM) dan pergi ke rumah kawan di kelantan. Maka tenggelamlah mayat selama tiga hari di dalam air…semasa mayat dijumpai keadaan agak pelik sebab tidak timbul keseluruhan badan tapi timbul macam orang berdiri hinggakan orang sangka kepala mayat tu buah kelapa yang hanyut di dalam air.

Setibanya jenazah di Gombak, aku pun selaku budak sekolah rendah (masa tu darjah 6) yang curious menjenguk la jenazah tersebut. Kelihatan mayat dibungkus begitu tebal sampai nampak rupanya macam botol besar je…dan dibawah jenazah kain kapannya nampak basah dan meresap darah pada kain. Aku ade tumpang sibuk i.e curi dengar daripada orang yang ambil dan mandikan jenazah di kelantan. Katanya setiap kali dibilas, masih keluar lelehan lumpur dan darah daripada liang telinga, hidung dan mata mayat. Daging tubuh pun ada yang luruh sebab dah mereput tiga hari dalam air. Jadi tukang mandi bilas setakat yang mampu dan terus kapankan dengan lapisan kapas tebal didalam.

Semasa jenazah diusung ke kubur, aku jugak yang menyibuk …wartawan beb! bakat terpendam tu…. Aku buat coverage sampai ke gigi liang lahad. Hihihih. Masa tu tukang gali kubur dah masuk ke dalam liang sambut mayat. Beberapa  yang berada di atas sibuk mengepal tanah bulat-bulat sebesar bola acara lontar peluru ..nak dibuat bantal kepada mayat. Baik punya timing….masa tukang gali kubur buka kapan di bahagian muka, time tu la aku jenguk muka konon nak tengok ADA APA DENGAN LIANG LAHAD.

Perghhhh…bau busuk yang tak dapat digambarkan menusuk lubagng hidung sampai aku pening macam nak pitam…menusuk kalbu dan menggoncang roh sampai aku automatik terdongak macam orang kena starlight.  Memang la teramat busuk sebab manusia adalah makhluk yang makan macam-macam jenis makanan la katakan…sedangkan ayam daging yang makan pallete tu pun kalau dah jadi bangkai teramat busuk, inikan manusia yang berkali-kali makan kentaki fried ciken. Maka bolehlah korang bayangkan betapa busuknya bau asli mayat manusia….uwekkk…

bersambung….in part 2 (dah pukul 12.03 am da…aku sorang-sorang menaip kat bawah ni…hihihihhihi…langsir tingkap pun dah bergoyang-goyang ….hahaha…..kena kipas angin la….)

SIRI BARU: JIN DAN AKU

Dah lama aku tak blogging. Sudah tentu sebab malas nak menaip dan juga mungkin ketandusan idea…hihihih

Jadi untuk sesi memanaskan semula jari-jemari aku nak mulakan entri-entri selepas ini dengan tema JIN DAN AKU.

nantikan episod sulung bertajuk: KAMI TAK MAU PINDAH…hihihihihih…jgn risau…tak seram mana pon…

Saya sakit..

kenapa bila saya sihat, saya diam tak kata apa-apa, tak ucap syukur pada Allah banyak-banyak…

kenapa bila saya sakit, saya mula kata aku sakit la, aku sakit la…habis satu dunia kita kata “aku sakit la..” seolah-olah tuhan sedang menganiaya kita.

dikenakan sakit berpunca daripada 3 sebab:

1. punca pertama ialah daripada perut – apa yg kita makan ….hehehe banyak kambing ak makan…

2. punca kedua ialah daripada dosa – sendiri mau ingat ..selalu la bertaubat

3. punca ketiga ialah daripada perbuatan setan – setan boleh kenakan kesakitan rohani dan jasmani pada kita

huuuu…muhasabah diri..

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.