“Kalau manusia tahu apa yang hendak dilakukan, maka dunia ini akan jadi sempurna”
Setiap seorang daripada kita akan melalui jalan-jalan kehidupan yang berlainan. Kelainan memang bagus kerana ia boleh membawa kepada perkongsian atau sekurang-kurangnya sembang kosong yang boleh mewujudkan kemesraan.
Tetapi kadangkala kelainan juga ditafsir secara mudarat dan mendorong manusia membeza-bezakan, membanding-bandingkan dan mewujudkan kasta tinggi dan rendah sesama manusia.
Beberapa tahun dahulu seorang rakan senior di universiti pernah berkata kepada aku: “kita ni, janganlah jadi orang biasa-biasa. Takkan nak jadi orang biasa-biasa. Kita kena bercita-cita tinggi, kena jadi extra-ordinary.
Pernyataan ini dikeluarkan dalam satu situasi perbualan mengenai “masa depan” dan “kerjaya”. Perkataan ini sangat aku ingati dan minati kerana ia dituturkan dengan nada menghina, di depan khalayak ramai dan dengan niat memperlekeh pandangan aku pada masa tersebut.
Pandangan aku pada masa tersebut ialah: “apapun pencapaian bersifat keduniaan janganlah terlalu dikejar, nanti hampa jadinya”
Selang 10 tahun
Masa berlalu, sahabatku ini ternyata berjaya. Berjaya ke luar negeri, berjaya mendapatkan kerja di syarikat besar dalam kategori “Big 5”. Dia pulang semula ke Malaysia dengan gahnya, membuka syarikat sendiri, bahkan terlibat dalam politik. Tidaklah perlu kekayaannya, jenis keretanya dan luas rumahnya aku sebut kerana orang yang sedemikian berjaya takkanlah tinggal di rumah sewa dan menaiki teksi untuk pergi bekerja.
Sekali lagi, pertemuan kami setelah beberapa tahun masih berkisar tentang cerita yang sama… tentang “kerjaya” dan “kejayaan”, tentang ukuran-ukuran fizikal yang bisa menonjolkan mata, menjuihkan bibir dan menjatuhkan dagu (make your jaw drop).
Oh! dan tak lupa juga hinaan itu…masih sama bisanya, cuma kali ini lebih beragam rencah perisanya.
Dan aku tetap sama. Mengeluh…
“Sahabat aku ini masih belum sampai pemahamannya tentang KESIMPULAN KEHIDUPAN”
Beberapa ketika selepas 10 tahun itu
Masa berlalu lagi. Kami bertemu lagi seolah takdirnya memang disusun begitu, berterusan bertemu selagi belum sampai maksud dan tujuan.
Tujuan?
Setakat ini masih belum nampak lagi tujuan itu bukan? Sabarlah wahai pembaca, sebentar lagi akan kalian temukan jawapan dan tujuan cerita ini.
Dipendekkan cerita, sebagaimana aku, kawan aku ini juga tidak dapat lari daripada norma kehidupan iaitu belajar, bekerja, berpacaran, berumah-tangga, beranak-pinak, membesarkan anak-anak, tonggang-tonggek (nama lain bagi solat cara orang moden – solat tapi tidak dapat manfaat dari solat), menabung untuk hari tua yang belum tentu ada dan bersedia ala kadar untuk hari mati yang sangat pasti terjadi.
Hampir kepada penutup cerita
Cerita ini seharusnya pendek, tapi sudah semakin panjang jadinya. Jadi biarlah aku tutup dengan ringkasan dan kesimpulan sahaja.
Ringkasnya, setelah 10 tahun berkejaran dalam hidup, kawan aku akhirnya terjatuh, tertiarap letih dan merungut dalam longgokan “harta” dan “kejayaannya”.
“kau tahu, memang benar katamu”
“duit boleh dikejar, ditambak sampai jadi bukit”
“tapi hati aku tetap tidak puas”
“jiwa aku tak tenang”
“kesibukan kerja buat aku rungsing”
“bahang di tempat kerja, keluarga yang terima tempias, kadangkala direct hit juga”
“aku rasa hidup semakin sibuk”
“dalam kesibukan itu aku tidak dapat melihat dengan tenang dan dengan senyuman terhadap banyak perkara”
“antaranya proses anak-anak aku membesar, wajah isteriku yang selalu mengikut kehendak aku ….dan aku juga tertinggal banyak perkara kecil dan rutin tapi bermakna”
Masalah aku sekarang, aku telahpun sedar yang hidup ini yang penting ialah MENIKMATINYA KETIKA DALAM PERJALANAN.
KESIMPULAN PERTAMA KEHIDUPAN:
RASA TENANG DAN SELAMAT ITU MATLAMAT UTAMA KEHIDUPAN
Perbualan hari itu mengajar sahabat aku tentang kesimpulan pertama dalam kehidupan.
Manusia bekerja, mencari kekayaan, mencari kejayaan….end of days sebenarnya mereka hendak mencapai rasa selamat, keadaan selamat dan dengan harapan akan datang ketenangan usai ujud rasa dan keadaan selamat.
Sahabat aku melalui perjalanan korporat selama 10 tahun hanya untuk menyedari kebenaran bahawa di puncak kehidupan yang perlu dicapai ialah ketenangan dan keselamatan. Mencari dan meneroka dalam keadaan salah atau serong pegangan memang ternyata membazirkan umur.
Islam adalah agama yang menawarkan cara mencapai kesimpulan-kesimpulan dalam kehidupan.
Allah Maha Adil kepada semua orang….semua lapisan manusia boleh mencapai ketenangan dan keselamatan. Manusia pula suka mencipta prioriti nafsu dan kemudian sengsara ditipu nafsu.
Penutup
Kini kawan aku yang pandai telah menemui kebijaksanaan. Kesedihan dan kepedihannya tidak hilang begitu saja. Maklum saja 10 tahun pencapaian dan kejayaan. Dan 10 tahun itulah hidup tak pernah rasa ceria, kurang rasa tenang dan jarang rasa selamat. Kalau rasa pun sekadar tak lebih dari 10 minit sehari saja.
Sekurang-kurang yang dapat aku lakukan buat masa ini ialah menenangkan dia seketika…”sahabatku, the unexamined life is not worth living“
Pelajaran yang Allah beri sangat adil sifatnya, sesuai dengan keadaan hati seseorang pada masa tersebut. Allah tidak melihat berapa harga yang harus kamu bayar, kerana kamu saja yang pandai-pandai meletak harga itu dan ini dalam mengukur kehidupan.
Hati kamu ya sahabat…hati kamu…Itu saja.
Kalau rosak hati kamu, pulangkan kepada pengilangnya untuk menuntut waranti.
Jangan pandai-pandai baiki sendiri..
“Kalau manusia tahu apa yang hendak dilakukan, maka dunia ini akan jadi sempurna” (Masalahnya kita manusia memang tidak tahu)
KESIMPULAN KEDUA KEHIDUPAN: MENGETAHUI KESIMPULAN AGAMA. …panjang umur tulis lagi..
Leave a Reply